Perak Hari Ini

Pertikai ISLAM dan MELAYU adalah derhaka-Sultan Perak

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah sebarang suara yang mempertikaikan status Islam dan keistimewaan orang Melayu di negara ini adalah satu perbuatan yang tidak berasaskan sejarah dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Titahnya, jika ada di kalangan orang Melayu sendiri berbuat demikian, maka mereka itu sebenarnya melakukan penghinaan dan derhaka terhadap bangsanya sendiri.

“Wasiat Raja-Raja Melayu adalah sebahagian dari perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka. Raja-Raja Melayu yang bersemayam di takhta pemerintahan pada hari ini bukan sekadar mewarisi takhta pemerintahan tetapi turut mewarisi tanggungjawab kepada agama dan bangsa serta memastikan wasiat tersebut terus dijunjung.

“Adalah menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu di negara ini untuk terus mempertahankan segala hak dan keistimewaan Islam dan orang Melayu dari sebarang usaha yang mahu menghakisnya.

“Umat Islam dan orang Melayu hendaklah jangan melakukan perbuatan mencurah air di tempayan kerana mendengar guruh di langit; takut-takut nanti umat Islam dan orang Melayu berakhir dengan keadaan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran lalu berdagang di tanah sendiri laksana ayam kelaparan di kepuk dan itik kehausan di air,” titah Baginda ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1432 di Kolej Islam Darul Ridzuan, Kuala Kangsar, hari ini.

Baginda juga bertitah, adalah wajib dijadikan pengajaran peristiwa kejatuhan empayar, sejarah keruntuhan pemerintahan Islam dan tewasnya tentera Islam yang berpunca akibat perpecahan.

Titahnya lagi, amat malang kepada agama dan bangsa apabila sejarah sebenar negara mahu dipadam dan fakta mahu diubah.

Jika ini dibiarkan, Sultan Azlan bertitah, tidak ada maknanya lagi apabila bangsa di kemudian hari menghadapi sesalan kerana ketika itu terpinggir di bumi sendiri dan Islam dilihat sebagai satu pegangan serpihan.

Keistimewaan yang dinikmati oleh umat Islam titah Sultan Azlan, bukan pipis datang melayang atau bulat datang menggolek .

“Keistimewaan status agama Islam di bumi ini mempunyai sejarah yang lama. Ketahanan umat Islam untuk tidak mudah dipesongkan dari akidah Islam adalah kerana telah dibina mekanisme-mekanisme secara perundangan bagi melindungi umat Islam daripada dipengaruhi oleh sebarang usaha dakyah.

“Sedarilah, bahawa segala keistimewaan dimiliki umat Islam di negara ini adalah hasil daripada pemikiran yang dirumus secara strategik untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi dan aktiviti Islam bukan sahaja dapat dikembangkan tetapi juga diberi hak mendapat pembiayaan negara,” titahnya lagi.

Tegas Baginda, keistimewaan hari ini ini diperoleh melalui hasil persepakatan dan penyatuan dari segi prinsip perjuangan dan suara tuntutan umat Islam dari seluruh pelusuk Tanah Melayu hingga mendapat pengiktirafan untuk dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara.

“Keistimewaan akan hanya dapat dikekalkan jika ia terus dipelihara dengan prinsip dan asas perjuangan yang bersandarkan kepada sejarah bumi yang dipijak dan salahsilah langit yang sedang dijunjung,” titahnya.

Sementara itu, Sultan Azlan menasihatkan agar sambutan Maal Hijrah dipenuhi dengan peringatan agar ummah dapat bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan sama, bertawaduk untuk merendah ego diri dan memohon keredhaan Allah.

“Peristiwa Hijrah mencetuskan satu perubahan penting kepada Islam dan umat Islam kerana ia merakamkan transformasi, iaitu satu titik peralihan membolehkan umat membuktikan kejayaan merealisasikan prinsip-prinsip utama risalah yang dibawa oleh Islam hingga berjaya membina tamadun agung serta mencipta sejarah besar.

“Penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah memberi satu dimensi baru dalam penyusunan peradaban manusia. Peristiwa itu telah memperhebat kegiatan penyebaran Islam selepas sebuah pemerintahan berlandaskan Islam berjaya dibentuk. Penghijrahan Rasulullah mencetuskan nilai-nilai persaudaraan yang amat tinggi dalam erti satu agama dan satu kepercayaan, berjaya mewujudkan perpaduan yang ampuh sehingga Islam menjadi satu kuasa yang disegani dan dihormati

“Sehubungan itu, peristiwa Hijrah yang merupakan detik penting dalam sejarah Islam dijadikan peristiwa yang diberi peringatan dan disambut secara rasmi di negara ini selaras dengan status keutamaan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” titahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");