Perak Hari Ini

Peruntukan pembangunan rakyat meningkat dalam Bajet 2011

Pembentangan Bajet 2011 menyaksikan peruntukan pembangunan rakyat bertambah kepada RM273 juta berbanding hanya RM179 juta tahun 2010.

Dengan tema “Bajet Mendahulukan Rakyat, Aman Makmur Merentasi Kaum”, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pertambahan sebanyak RM94 juta bagi pembangunan rakyat bertujuan merealisasikan agenda meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat.

Katanya pertambahan peruntukan itu adalah bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan, program setinggan sifar, program perumahan rakyat dan program kesejahteraan rakyat.

Peruntukan pembangunan rakyat tersebut adalah sebahagian Bajet 2011 berjumlah RM862.33 juta dengan defisit diunjurkan sebanyak RM29.9 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM589.33 juta diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM273 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

“Ingin juga saya jelaskan bahawa dengan defisit RM29.91 juta untuk tahun 2011, ini bukan bermakna kedudukan kewangan negeri berada di ambang muflis. Kerajaan negeri mempunyai rizab yang tinggi mengikut nilai buku pada 23 Nov 2010 adalah sebanyak RM753.6 juta,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di sidang Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata seperti yang terbukti dalam pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada 3 Ogos lepas, defisit 2010 yang diunjurkan RM23.89 juta itu akan terhapus atau diimbangi pada penghujung tahun ini kerana sumber hasil yang melebihi anggaran awal bagi tahun ini.

“Bagi tahun 2010, kita akan menyaksikan bajet seimbang atau juga terdapat lebihan. Begitu juga diharapkan menjelang penghujung 2011 kelak, anggaran defisit RM29.91 juta boleh diimbangi sekiranya terdapat sumber hasil yang melebihi anggaran,” katanya.

Zambry berkata pada tahun 2011 jumlah hasil dianggarkan berjumlah RM832.4 juta.

“Hasil yang dijangkakan bertambah ini amat wajar dibelanjakan untuk rakyat. Justeru peruntukan pembangunan ditambah RM94 juta kepada RM273 juta iaitu pertambahan sebanyak 52.51 peratus,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi bantuan makanan dan RM1 juta bagi bantuan wang tunai semasa perayaan yang akan dapat dinikmati oleh 4,000 keluarga miskin tegar.

Sebagai usaha memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi projek baik pulih surau dan masjid yang berada dalam keadaan daif, katanya.

Beliau berkata sebagai mencerminkan keprihatinan terhadap agama lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi projek baik pulih rumah ibadat seperti kuil, gereja, tokong, Gudwara dan wat Siam serta bersetuju memperuntukkan RM2 juta bagi pembinaan krematorium yang moden dan mesra alam sekitar.

“Sebagai penghargaan dan juga pengupayaan golongan Orang Asli di Perak, kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan untuk aktiviti mereka daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta,” katanya.

Bajet 2011 juga menyaksikan seramai 817 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini antara pihak yang mendapat banyak manfaat.

Golongan ini akan menerima tambahan bayaran bulanan sebanyak RM50 setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM490,200.

Zambry berkata, dengan itu, semua pengerusi JKKK akan menerima bayaran sebanyak RM800 sebulan termasuk RM750 yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, kerajaan negeri bersetuju memberikan elaun khas RM150 sebulan bagi membantu membiayai perbelanjaan perkhidmatan telefon bimbit dan urusan perjalanan pengerusi JKKK. Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM3,000 kepada setiap JKKK bagi menampung bil-bil elektrik dan air di dewan orang ramai serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kecil. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.45 juta,” katanya.

Beliau berkata, di samping itu, kerajaan negeri bersetuju memberikan anugerah fardu haji berdasarkan kawasan DUN dan tidak lagi mengikut daerah.

“Untuk itu, mulai 2011, seramai 59 pengerusi JKKK terpilih akan menerima anugerah ini dan ia melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM590,000,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");