Perak Hari Ini

BAIDURI hulur bantuan sempena Tahun Baru Cina

Sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi, seramai 55 kanak-kanak pelbagai kaum dari Tadika Jiang Hua, di Kuala Kangsar menerima ‘ang pau’ dan peralatan persekolahan.

Ia adalah sumbangan pertama daripada Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) di luar kawasan Ipoh dan disampaikan sendiri oleh isteri Menteri Besar yang merangkap YDP BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Jelasnya, sumbangan itu diharap memberi sedikit keceriaan terutama kanak-kanak yang berketurunan Tionghua.

“Setiap tahun, BAIDURI tidak ketinggalan menyampaikan sumbangan pada musim perayaan bagi menceriakan lagi suasana.

“Jika pada tahun lalu, kita lebih menumpukan kawasan Ipoh, tetapi untuk 2011 ini, BAIDURI mahu bergerak keluar pula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan muhibbah dengan pesakit di empat wad di Hospital Kuala Kangsar, hari ini.

Lawatan itu turut disertai Pengarah hospital, Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid dan ahli-ahli BAIDURI.

Semasa lawatannya itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ang pau dan hamper kepada para pesakit.

Dalam perkembangan berkaitan, BAIDURI katanya, dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina di Ipoh pada 7 Februari depan.

Katanya, majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan kepada kira-kira 500 golongan yang memerlukan terdiri daripada ibu tunggal, warga miskin dan orang kelainan upaya (OKU).

Beliau turut menyifatkan sumbangan itu bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");