Perak Hari Ini

Penerbangan sektor Ipoh-Johor Bahru diperkenal semula selepas 4 tahun dihentikan

Penerbangan sektor Ipoh-Subang-Johor Bahru diperkenalkan semula hari ini selepas dihentikan selama empat tahun dan ia dijangka berupaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta menjadi pintu masuk ke destinasi utara negara di masa depan.

Perkhidmatan carter yang disediakan Infinity Travel & Services Sdn Bhd dengan kerjasama Berjaya Air itu juga dilihat mampu mengeratkan hubungan antara dua negeri kerana ramai penduduk di Perak mempunyai keluarga dan sanak saudara yang belajar dan menetap di Johor Bahru atau Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norliza Mustapa, berkata melalui kemudahan itu, pihaknya yakin industri pelancongan domestik kedua-dua negeri khasnya akan bertambah rancak dan maju selain memberi perkembangan positif kepada bidang pendidikan dan perniagaan.

Tegasnya, penerbangan sektor Ipoh-Johor Bahru pernah dikendalikan beberapa syarikat penerbangan sebelum ini termasuklah Pelangi Air dan Air Asia tetapi dihentikan atas faktor purata beban penumpang adalah hampir 90 peratus.

Ketika ini, sektor penerbangan bagi destinasi terdekat hanya Ipoh-Singapura yang dikendalikan oleh Firefly.

“Oleh yang demikian, syarikat ini memberi alternatif kepada penumpang terutamanya yang berada di Johor dan Perak untuk menggunakan kemudahan penerbangan carter yang lebih cepat, mudah dan selesa dalam tempoh 80 minit berbanding antara enam hingga lapan jam jika menggunakan jalan darat.

“Mulai hari ini, sektor Ipoh-Johor Bahru ditawarkan semula dengan kerjasama Berjaya Air yang bersetuju memperuntukkan pesat ATR 72 dan Dash 7 bagi tujuan berkenaan dan memandangkan hub mereka adalah di Subang, adalah lebih efektif untuk pesawat tersebut bermula dan berakhir di Subang,” katanya ketika berucap sempena program Kembara Ehsan Penerbangan Carter Subang-Ipoh-Johor Bahru, petang tadi.

Lebih 20 penghuni Rumah Anak Yatim Bait Al Amin, Parit menyertai program itu bersama penggiat pelancongan tempatan dan wakil media massa.

Norliza berkata, sektor Subang-Ipoh juga berpotensi dibangunkan semula di mana masih terdapat permintaan terutamanya dari kalangan ahli perniagaan walaupun mereka mempunyai altenatif lain seperti melalui lebuhraya dan keretapi.

Katanya, melalui perkhidmatan yang ditawarkan itu, syarikat meletakkan visi dan objektif menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah sebagai satu lagi pintu masuk ke destinasi utara negara sekaligus menjana ekonomi setempat terutamanya di bandaraya Ipoh.

Tambahnya, penerbangan carter Ipoh-Johor Bahru akan memulakan operasinya selepas ini dengan empat penerbangan seminggu iaitu setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad dengan tawaran tambang RM180++ sehala.

“Dengan kapasiti penuh 72 penumpang, kami percaya ia boleh menjadi pemangkin kepada industri pelancongan dan sektor lain demi faedah kerajaan negeri dan rakyat Perak khususnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");