Perak Hari Ini

Ibu tunggal lega dapat rumah baru

Kehadiran tahun baru seolah-olah memberi sinar dalam kehidupan seorang warga emas apabila memasuki rumah barunya di Kampung Pisang, Batu Gajah di sini hari ini.

Rumah yang dibina melalui Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu umpama hadiah yang tidak ternilai buat Robiah Ngah Saidin, 60, selepas enam tahun terpaksa keluar dari penempatan setinggan di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dekat sini.

Robiah ketika ditemui berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan negeri kerana membina sebuah rumah tiga bilik lengkap dengan bekalan air dan elektrik.

“Saya sangat gembira dengan pemberian ini. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat kesusahan saya ini.

“Dengan adanya rumah sendiri, kami sekeluarga dapat hidup lebih selesa dan tidak perlu bimbang tentang kos yang diperlukan untuk membina rumah kerana semuanya sudah disediakan,” katanya selepas menerima kunci rumah PPRT di kampung itu, hari ini.

Majlis penyerahan kunci rumah itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, dia tidak mampu membina rumah baru kerana tidak mempunyai pekerjaan dan miskin.

Sumbangan rumah PPRT itu, katanya, membuktikan kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab sosial terutama kepada penduduk miskin di luar bandar.

Sementara itu, menurut Ketua Kampung Pisang, Mohd. Ruah Samsudin, 59, pembinaan rumah PPRT merupakan antara projek untuk memperluaskan kampung itu.

Katanya, melalui inisiatif yang dilakukan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) itu, semua penduduk yang terlibat dengan perpindahan tanah rizab KTMB diberikan tanah, selain menerima bantuan pembinaan dan membaik pulih rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");