Kolumnis

ISU PANAS: SIAPA KATA DAP TAMAK?

Apabila KDYMM Seri Sultan Perak menjadi batu penghalang kepada Ngeh Kor Ham untuk menjadi Menteri Besar Perak, DAP secara keseluruhannya sudah dapat mengesan, kesusahan mereka untuk menguasai negara ini. Kalau menang pun mereka di sebuah kerusi ADUN, mereka tetap tidak dapat berbuat apa-apa kerana halangan daripada Undang-Undang Tubuh setiap negeri yang secara jelas menghalang orang bukan Melayu dan bukan Islam daripada menjadi Menteri Besar. Malah Undang-Undang Tubuh Kelantan dan Johor pula lebih mengesankan dengan penetapan bahawa hanya orang Melayu tulen dan bukan Melayu berketurunan Arab yang layak menjadi Menteri Besar.

Tanpa penguasaan negeri, tiada gunanya menguasai Putrajaya. Putrajaya akan lumpuh seandainya setiap pentadbiran negeri memilih untuk bermusuh dan tidak bekerjasama. Dan kerana itulah, DAP tidak sedikit pun menampakkan minat mereka untuk menguasai Putrajaya, sebaliknya mereka sekadar mensasarkan penguasaan pentadbiran negeri. Lim Kit Siang tidak memperlihatkan sikap terujanya sekalipun Anwar Ibrahim cuba memujuknya dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri seandainya Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya.

Dan berbanding Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan PAS yang sangat jauh berangan-angan, DAP memandang dan bersikap secara realiti. DAP sedar, mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menguasai kesemua negeri yang terdapat di Malaysia. Mereka juga tidak mempunyai kemahiran untuk mentadbir.

Disebabkan itulah, DAP memilih untuk menguasai secara strategik, bukannya mempamerkan kekuatan mereka. DAP menggunakan kebijaksanaan untuk bertanding dan menguasai berbanding UMNO dan PAS yang menggunakan pelbagai sentimen.

DAP hanya memilih kerusi-kerusi yang mereka mempunyai potensi besar untuk menang terutama kerusi bermajoritikan Cina dan India. Mereka tidak akan berahi dengan negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pahang, Terengganu atau Kelantan. Sebabnya kalaupun mereka menang di negeri-negeri tersebut, mereka hanya akan bermasalah besar sebab itu adalah negeri-negeri Melayu.

Kerana itulah, DAP hanya berminat dengan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Johor, sekalipun mereka berminat, tetapi sehingga kini, Johor masih kekal sebagai lubuk dan kubu UMNO sekalipun di beberapa kerusi, DAP sudah mampu menguasainya.

Berbanding dengan PKR, DAP tidak bercakap besar. DAP tidak bercakap tentang penguasaan beberapa puluh kerusi yang membolehkan mereka menguasai negeri, sebaliknya mereka sekadar berkata yakin tentang penguasaan di kerusi-kerusi penting, terutama sekali kerusi perbandaran, sama ada kerusi Parlimen mahupun DUN.

Begitu juga dengan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Kita dapat perhatikan, pemimpin Pakatan Rakyat yang beria-ia cuba mempertahankan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat dan Buku Jingga adalah Melayu PKR dan Melayu PAS. Sedangkan DAP pula, kelihatan tidak berminat langsung untuk bercerita tentang Janji 100 hari seandainya Pakatan Rakyat berjaya kuasai Putrajaya.

Taraf pendidikan dan pemikiran Anwar Ibrahim berbanding Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang sebenarnya sangat jauh berbeza. Anwar Ibrahim sentiasa berusaha menampilkan dirinya sebagai orang bijaksana, sedangkan kedua-dua beranak penguasa DAP itu pula, telah membuktikan yang mereka genius dalam berpolitik, terutama politik menjajah. Anwar Ibrahim hanya mampu membuat gempar dan retorik, walhal Lim anak beranak secara senyap-senyap telah pun berjaya menguasai beberapa bahagian di negara ini tanpa perlu hingar-hingar seperti Anwar Ibrahim.

DAP tahu Janji 100 Hari Pakatan Rakyat dan Buku Jingga hanyalah mimpi kosong Anwar Ibrahim dan penipuannya sama seperti cerita 16 September yang tidak menjadi-jadi sehingga kini. Disebabkan itu, DAP membuktikan kepada para penyokong parti sosialis itu bahawa Melayu di dalam PKR dan PAS boleh dibodoh-bodohkan dengan mudah. Sebabnya Melayu-Melayu PKR dan PAS cukup dengan sembang kosong dan berikan sedikit fakta fantasi, mereka pastinya akan memperjuangkan cerita dongeng itu sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Dan pada masa yang sama, ahli-ahli DAP pula sekadar tersenyum sambil mengurut belakang Melayu PKR dan Melayu PAS sambil memuji-muji mereka….

Jadi, siapa kata DAP tamak?

Penulis: ANON00 untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");