Perak Hari Ini

Zambry Mahu Jabatan Berkaitan Pertingkat Kemudahan Sekolah Maahad Ehya As-Shariff

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu semua jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pelajaran negeri mempertingkatkan kemudahan di sekolah agama tertua Perak, Maahad Ehya As-Shariff yang disifatkannya berada dalam keadaan daif.

Katanya kemudahan seperti asrama, surau dan juga kawasan rekreasi sekolah agama itu perlu diperbaiki bagi memastikan keselesaan pelajar.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa pihak berkenaan akan memberi bantuan kepada sekolah ini,” katanya ketika melawat sekolah itu baru-baru ini.

Sementara itu Pengetuanya Ahmad Jahid Mamduh Shahar Murshid berkata ini adalah kali pertama sekolah tersebut menerima kunjungan seorang menteri besar sejak dibuka pada 15 April 1934.

Mempunyai 530 pelajar dengan 49 tenaga pengajar, sekolah itu menawarkan pendidikan peringkat rendah dan menengah iaitu sehingga Sijil Tinggi Agama Malaysia, katanya.

“Pada tahun lepas, sebanyak lapan pelajar melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar di Mesir dan ada juga yang berjaya ke universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Sekolah itu diasaskan oleh tokoh agama terkenal, Abu Bakar Al-Baqir serta banyak melahirkan tokoh yang disegani seperti Dr Burhanuddin Helmi.

Maahad Ehya As-Shariff juga adalah tempat bertunasnya gerakan Islam, Hizbul Muslimin yang digeruni oleh penjajah Inggeris pada satu ketika dulu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");