Berita Hari Ini

Kemenangan BN Di DUN Tenang Bukti Rakyat Terima Kepimpinan Najib – Muhyiddin

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih tinggi merupakan bukti rakyat menerima kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri telah diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Ia adalah kemenangan yang membuktikan penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman di negeri ini.

“Dasar-dasar oleh Perdana Menteri seperti Gagasan 1Malaysia, GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan ETP (Program Transformasi Ekonomi) telah disambut dengan baik oleh rakyat semua kaum,” katanya pada sidang akhbar selepas calon BN diumumkan memenangi pilihan raya itu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis Ahad malam.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung hari ini, Mohd Azahar Ibrahim, 39, yang memperoleh 6,699 undi menewaskan calon PAS Normala Sudirman, 38, yang hanya memperoleh 2,992 undi.

Walaupun peratusan yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Tenang hanya 67 peratus, namun majoriti yang diperoleh calon BN ialah 3,707 undi, dan jumlah ini jauh lebih banyak berbanding 2,492 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum 2008.

Muhyiddin berkata BN akan meneruskan usaha bagi meningkatkan keyakinan rakyat pelbagai kaum terhadapnya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berharap trend kemenangan BN pada pilihan raya kecil akhir-akhir ini, termasuk di DUN Tenang, mampu diteruskan pada pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac ini.

Mengenai kemerosotan jumlah undi yang diperoleh calon PAS, beliau berkata keputusan di DUN Tenang merupakan bukti jelas bahawa parti pembangkang itu ditolak rakyat Johor.

“Dari segi sejarah, PAS sememangnya tidak mempunyai tempat di hati rakyat Johor. Keputusan hari ini hanya mengesahkan bahawa PAS ditolak oleh rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata kemenangan BN dengan majoriti yang kian meningkat juga membuktikan bahawa Johor kekal sebagai kubu kuat parti pemerintah itu.

Mengenai kemenangan BN di dua daripada tiga peti undi majoriti Cina pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata ia satu perkembangan yang agak signifikan.

“Ada titik perubahan kepada Barisan Nasional, agak signifikan perubahan sikap (masyarakat Cina terhadap BN),” katanya sambil menambah pengundi Cina praktikal dan faham tentang usaha yang dilakukan Perdana Menteri.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, BN memenangi dua peti undi yang majoritinya pengundi Cina, iaitu di Labis Timur dan Labis, namun tewas di peti undi Labis Tengah.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, BN kalah di ketiga-tiga peti undi tersebut.

Mengenai peningkatan sokongan pengundi kaum India, Muhyiddin berkata mereka sedar bahawa hanya BN yang benar-benar membela nasib masyarakat itu.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");