Kolumnis

KETUA PAKATAN RAKYAT MULA DEMAM TAK KEBAH

Nampaknya JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT dan BUKU JINGGA bagaikan telah menjadi sumpahan kepada Anwar Ibrahim yang beria-ia hendak membuktikan bahawa dia lebih bijak daripada pentadbiran sedia ada. Janji tersebut yang kononnya dibuat untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat jauh lebih baik berbanding UMNO terutama dengan ANGAN-ANGAN penjimatan RM51 bilion dan perbelanjaan hanya memerlukan RM19 bilion, kini bagaikan virus pemakan daging yang sedang menjalar dalam setiap urat dan saraf Anwar Ibrahim serta konco-konconya.

Tidak hanya dipertikaikan oleh pakar-pakar ekonomi, sebaliknya janji-janji itu sendiri sudah nampak bohong di mata rakyat biasa yang tidak faham pun tentang teori ekonomi. Secara nyata, janji-janji berkenaan tidak ubah seperti pujukan seorang duda buta untuk mengahwini seorang ratu cantik. Janji-janji itu tidak berpijak ke bumi dan tidak juga terangkat ke langit.

Sebaliknya ia sekadar bersifat cerita dongeng yang hanya boleh direalisasikan dengan tongkat sakti Harry Porter.

Anwar dan konco-konconya sekadar menekankan tentang penjimatan, penghapusan rasuah dan penamatan subsidi kepada IPP. Bagaimanapun faktor lain seperti kejatuhan mata wang, susutnya nilai pasaran, peningkatan kos bahan mentah, selain kadar inflasi, kadar faedah dan kadar pengangguran misalnya, tidak diberikan perhatian sekaligus membuatkan fakta-fakta yang cuba dikemukakan oleh Anwar Ibrahim sekadar cerita-cerita seronok dan bertaraf cerita kedai kopi.

Dalam apa juga keadaan pun, Anwar Ibrahim apabila bercerita tentang ekonomi, kewangan dan perbankan seolah-olah dia berada di bawah tempurung dan dunianya tidak lebih daripada sebuah kolam sebesar besen. Anwar boleh bercerita segala-galanya tentang ekonomi, kewangan dan perbankan tetapi sekadar berkisar di sekelilingnya. Anwar Ibrahim tidak pernah menjangkau keluar dari luar jangkauan matanya, apatah lagi ke dunia global.

Ekonomi bagi Anwar Ibrahim, tidak lebih daripada perniagaan menjual pisang goreng di tepi jalan!

Dan hasilnya ialah JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT…

Malu apabila rancangan besarnya ditertawakan dan dilawak-lawakkan, satu-satunya cara untuk menebusnya adalah BERDEBAT. Sebabnya, Anwar percaya dia mempunyai kekuatan untuk berdebat kerana itulah satu-satunya keistimewaan yang ada padanya. Dan menariknya, Anwar Ibrahim cuba mengaitkan budaya debat dengan polisi beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain mahupun Australia.

Bagaimanapun, seperti yang dikatakan, Anwar Ibrahim sekadar melihat dari sudut yang dia mahu lihat sahaja. Amerika Syarikat kini menjadi negara penghutang terbesar di dunia. Defisit yang dialami oleh Amerika Syarikat, bakal memusnahkan negara kuasa besar tunggal itu. Begitu juga dengan Britain dan Australia yang mana debat sudah menjadi budaya kepada mereka untuk menunjukkan polisi siapakah yang paling afdal dan aula.

Anwar Ibrahim tidak akan sesekali menjadikan China, Jepun bahkan Singapura sebagai contoh bagaimana debat bukanlah petunjuk penting kepada progresnya ekonomi negara-negara berkenaan. Sebaliknya negara-negara tersebut lebih menitikberatkan kepada kestabilan politik menerusi polisi-polisi yang tidak menggalakkan mahupun menyuburkan budaya debat terbuka seperti yang diharapkan oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

Najib Abdul Razak dicabar untuk membuktikan polisi ekonomi siapakah yang lebih baik. Konco-konco Anwar Ibrahim bersorak sakan. Apabila Najib Abdul Razak menolak debat terbuka Anwar Ibrahim dengan sinis, Anwar Ibrahim semakin meloncat dan mengatakan Najib Abdul Razak ketakutan!

Sedangkan apa yang berlaku sebenarnya ialah rakyat sedang menilai polisi ekonomi Najib Abdul Razak. Rakyat sudah menilai polisi ekonomi Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Apa yang jelas ialah, polisi ekonomi Pakatan Rakyat tidak lebih baik daripada peminta sedekah yang sentiasa marah dan menyalahkan pihak Pusat kerana kegagalan dan kebergantungan mereka kepada Pusat sepenuhnya.

Pembanggaan yang ditunjukkan dengan kadar kemasukan FDI serta pelaburan lain ke negeri-negeri tersebut ditanggap sinis memandangkan setelah hampir tiga tahun mentadbir, kebanyakan modal asing yang dibawa masuk dilakukan oleh MITI dan MIDA sedangkan kerajaan-kerajaan negeri pula lebih sibuk berpolitik dan mengukuhkan kedudukan suku-sakat masing-masing. Mereka berbangga tetapi kebanggaan mereka samalah seperti LEMBU PUNYA SUSU, SAPI DAPAT NAMA.

Anwar Ibrahim dan konco-konconya telah benar-benar tersepit. Debat terbuka tentang polisi ekonomi, kini telah bertukar. Rakyat Malaysia lebih menantikan sahutan debat antara Anwar Ibrahim dengan Ummi Hafilda binti Mohd Ali, adik perempuan Azmin Ali tentang kezaliman dan kejahatan yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dalam usahanya untuk menutup malu berhubung kes liwat pertamanya pada tahun 1997 lalu.

Janji 100 Hari Pakatan Rakyat, tidak begitu menarik berbanding dakwaan Ummi Hafilda menerusi blognya tentang pelbagai kesyaitanan yang dilakukan oleh seseorang yang bergelar Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu. Apatah lagi cabaran debat itu muncul selepas Ummi Hafilda memfailkan saman sebanyak RM700 juta ke atas Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Karpal Singh dan PAS.

Sentuhan ngeri Anwar Ibrahim telah mulai beransur-ansur reda. Dari tahun 1997, dia asyik melakukan serangan, kini dia pula yang diserang dari pelbagai sudut dan dari pelbagai aspek. Biarpun Anwar Ibrahim cuba bertahan dengan cabaran debatnya ke atas Najib Abdul Razak, polisi ekonomi yang cuba diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim hanyalah taik dan saki-baki bangkai sosialis yang mulai ditinggalkan oleh negara-negara sosialis sendiri.

Ciri-ciri pemilihan ketat seorang pemimpin wujud di dalam Islam. Pemimpin tidak dilihat kepada idealisme atau pembaharuan yang dibawanya, tetapi Islam menekankan syahsiah diri si pemimpin diri itu, termasuklah moralnya. Dan Anwar Ibrahim sekadar manusia yang penuh idealisme tetapi moralnya kosong!

Justeru sebelum berdebat tentang polisi ekonominya secara terbuka dengan harapan kepetahan oralnya dapat mengalahkan Najib Abdul Razak yang diketahui cakapnya tidaklah berapi-api atau mampu menaikkan semangat, Anwar Ibrahim perlu menjalani saringan terlebih dahulu dengan cabaran debat daripada Ummi Hafilda di luar mahkamah.

Dan debat berkenaan bukanlah debat warung kopi atau gerai pisang goreng kerana ia membabitkan maruah, harga diri dan kejahatan yang bakal ditimpakan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Polisi ekonominya boleh dibuktikan dengan melihat prestasi ekonomi, kewangan dan perbankan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, bukannya bersandarkan kepada cerita-cerita dan angan-angan kosong menerusi Buku Jingga yang entah apa-apa itu!!!!

ANON00 untuk Perak Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");