Perak Hari Ini

Kerjasama erat kerajaan negeri dan MBI bawa pembangunan pesat di Station 18

Melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kawasan Station 18, dekat Pangkalan kini semakin rancak dan pesat membangun dengan pelbagai projek komersil yang bernilai jutaan ringgit.

Selain pasaraya besar Tesco yang beroperasi sejak 2008, sebuah lagi pusat beli-belah iaitu Jusco akan dibina di kawasan itu dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2012.

Kedua-dua projek itu dimajukan oleh pemaju tempatan, Keris Properties Sdn Bhd dan untuk projek Jusco sahaja, ia membabitkan pelaburan bernilai RM400 juta dan mempunyai keluasan 1.1 bilion kaki persegi.

Wakil syarikat itu, Catherine Teoh, berkata tanpa kerjasama kedua-dua pihak itu, syarikat itu pasti menghadapi halangan sukar untuk membangunkan kawasan berkenaan yang dahulunya agak terpinggir dari arus pembangunan.

“Selepas Tesco, kita berjaya menyakinkan AEON (M) Bhd untuk membuka gedung perniagaan terbesar di Malaysia yang terletak di Station 18.

“Apabila gedung ini beroperasi kelak, ia dijangka membuka 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya berucap pada majlis sumbangan Tahun Baru Cina anjuran Keris Properties di Ipoh, malam tadi.

Majlis itu dirasmikan oleh Exco Kanan negeri, Datuk Hamidah Osman. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Lee Seng Hee dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Pada majlis itu, 100 penerima yang terdiri golongan kurang bernasib baik menerima ang pau yang ditaja oleh syarikat korporat berkenaan.

Sebelum itu, Hamidah turut meluangkan masa untuk beramah-mesra dengan peniaga di pasar malam Station 18 dan menyampaikan buah limau kepada mereka sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Persembahan malam itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni yang disaksikan lebih 1,000 penduduk dari sekitar kawasan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");