Perak Hari Ini

Sumbangan bukan pampasan

Bantuan kewangan yang diberikan mangsa ribut di seluruh kawasan itu bukan pampasan ganti rugi terhadap kerosakan tetapi usaha meringankan beban mangsa.

Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Datuk Mohd Ghazali Jalal berkata, peruntukan yang diberikan kepada 112 mangsa ribut adalah melalui tabung bencana daerah.

Menurutnya, pentadbiran pejabat daerah bersama penghulu dan jawatankuasa kampung telah mengatur sumbangan berkenaan sebelum diserahkan kepada mangsa yang terlibat.

“Kita bagi sumbangan melalui tabung bencana alam yang ada ini bukanlah sebagai ganti rugi atas setiap kerosakan mangsa, tetapi ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan untuk meringankan beban mangsa mengikut peruntukan yang ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam kejadian ribut 16 Februari lalu, lebih 100 keluarga mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

Mohd Ghazali berkata, semakan kerosakan melalui aktiviti turun padang akan dilakukan sebelum jumlah bantuan ditentukan kepada setiap mangsa.

Menurut beliau, bagi kerosakan melibatkan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, pihaknya akan membuat semakan semua kerosakan yang berlaku sebelum peruntukan sebenar dapat disalurkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, bantuan yang disampaikan itu diharap dapat membantu menampung kos kerugian yang ditanggung.

“Setiap kali berlaku bencana alam seperti ini, kita tidak pernah mengabaikan mereka, jangan selepas ini timbul isu kita tidak membantu kerana sumbangan yang diperuntukkan adalah terhad dan tidak mampu menampung semua kerosakan yang berlaku,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan kewangan kepada mangsa ribut di beberapa mukim termasuk Mukim Kota Lama Kanan, Sungai Siput, Sayong dan Senggang itu dilakukan di Dewan Orang Ramai Enggor.

Setiap bantuan yang diterima bergantung kepada jenis kerosakan mengikut peruntukan yang disediakan tabung bencana.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");