Perak Hari Ini

SJK (C) Bercham terima RM3 juta bina bangunan baru

Lebih 2,600 murid SJK (C) Bercham, dekat Ipoh bakal menikmati suasana pembelajaran yang lebih selesa apabila Kementerian Pelajaran meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membina bangunan baru menempatkan 33 bilik darjah yang dijangka siap sepenuhnya menjelang sesi persekolahan 2012.

Berita gembira yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pelajara, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong,  itu sekaligus menolak dakwaan pembangkang selama ini bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menganaktirikan sekolah berkenaan yang dibina pada 1951.

Katanya, ketika ini, Lembaga Pengurus sekolah dalam proses melantik kontraktor.

“Saya dimaklumkan mereka akan melantik kontraktor rasmi dalam bulan ini dan kita harap kerja awal dapat dimulakan dengan segera.

“Projek ini perlu disiapkan dalam tempoh sembilan bulan kerana kita mahu bangunan baru itu dapat digunakan sepenuhnya menjelang sesi persekolahan 2012,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek bangunan baru SJK (C) Bercham di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd Idris Ramli dan Pengerusi Lembaga Pengurus sekolah, Wong Liau Hoo.

Sementara itu, Ka Siong berkata, sebelum ini, bilangan murid yang ramai dan bilik darjah sempit adalah dua masalah utama yang sering dibangkitkan oleh pembangkang tetapi kerajaan Pusat perlu mengambil kira perbelanjaan secara berhemah kerana masalah terbabit tidak boleh diselesaikan sekaligus.

“Bilangan murid sekolah ini pernah mencecah lebih 3,000 orang tetapi kini bilangannya sudah menurun kepada lebih 2, 600 sahaja. Bagi membolehkan sekolah ini mengadakan sesi persekolahan satu sesi, maka kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM3 juta bagi membina bilik darjah baru.

“Bangunan baru tiga tingkat ini akan menempatkan 33 bilik darjah dan dibina di kawasan seluas 2.5 hektar,” katanya.

Sementara itu, Liau Hoo berkata, apabila sesi persekolahan pagi dapat dimulakan tahun depan, pihak sekolah dapat menganjurkan kelas tambahan untuk murid yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) terutamanya bagi mereka yang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

“Melalui kelas tambahan di sebelah petang, kita berharap mutu pencapaian murid SJK (C) Bercham dalam UPSR terutamanya dalam kedua-dua mata pelajaran itu dapat ditingkatkan pada tahun depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");