Kolumnis

BERMUSUH DENGAN NIK AZIZ DAN PAS BERERTI BERMUSUH DENGAN SYAITAN (BHG KEDUA)

Penulis: Kelembai Bukit Untuk Perak Today

Persoalan tentang persahabatan dan pertolongan daripada syaitan yang dikatakan oleh Nik Aziz akan diterimanya dengan lapang dada selagi syaitan mampu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional, sebenarnya sangat menarik untuk diulas. Sebabnya, tidak ramai yang sedar, syaitan adalah musuh utama manusia. Hal tersebut telah diterangkan oleh Allah Taala, termasuklah tentang syaitan adalah musuh nyata umat manusia.

Mengapa Nik Aziz mengutarakan pandangan yang begitu kontroversi, hanya dia dan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pembaca Perak Today yang beranggapan, Nik Aziz adalah seorang yang jujur dalam menyampaikan Islam kepada rakyat Malaysia, maka artikel ini juga adalah jujur untuk menerangkan kepada sekalian pembaca bahawa syaitan itu adalah musuh Allah Taala, musuh para Nabi dan Rasul serta golongan solehin, bahkan musuh yang nyata dan ghaib bagi manusia biasa, terutama sekali bagi golongan yang sangat marhein iman serta ilmu pengetahuan mereka.

Oleh sebab itu, wajiblah setiap orang itu berhati-hati daripada godaannya dan selalulah berusaha untuk menghindarkan diri daripada ajakan jahat dan buruk syaitan. Sebabnya syaitan sangat gemar meletakkan angan-angan yang batil yang sama sekali tidak ada kenyataannya. Apa-apa yang dijanjikan oleh syaitan, pastilah hal-hal tersebut menyesatkan serta amat merbahaya, sama sekali tiada gunanya dan tiada kemanfaatannya.

Angan-angan kosong yang diberikan oleh syaitan ialah yang semata-mata berupa kebatilan seperti panjangnya umur, kehidupan yang lebih baik apabila penentangan dan permusuhan dilakukan bukan atas nama haq, Allah Taala tidak bersama-sama makhluknya yang tidak sependapat dengan kita, menimbulkan keraguan terhadap Allah Taala dan rasul-Nya dan sebagainya. Tujuannya berbuat begitu adalah supaya manusia itu lalai untuk membuat persiapan bagi menghadap Allah Taala nanti.

Perhatikanlah bagaimana PAS dan Nik Aziz melakukannya bagi pihak syaitan yang menjadi sahabat mereka. Tidakkah PAS dan Nik Aziz mengajarkan bahawa politik itu adalah segala-galanya, bahkan dimasukkan pula agama itu di dalam politik dan apabila terdesak, berkata pula bahawa politik adalah sebahagian daripada agama. Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal telah menjadi permainan di bibir dengan tuduhan, sesiapa sahaja yang menentang mereka, adalah jahil, tidak zuhud, enggan bertaqarrub kepada Allah Taala dan beristiqomah dalam menentang titah perintah Allah Taala. Contoh terbaik ialah apabila Nik Aziz mengharamkan perpaduan ahli-ahli PAS dengan UMNO atas alasan UMNO adalah Islam plastik, walhal Allah Taala dan rasul-Nya memerintahkan agar umat Islam sentiasa bersatu.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Janganlah kamu semua mengikuti jejaknya syaitan, sebab dia adalah musuhmu yang nyata. Syaitan itu hanyalah menyuruh kamu semua berbuat kejahatan dan kekejian dan supaya kamu semua mengatakan tentang hal Allah yang kamu semua tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 168-169)

Firman Allah Taala lagi yang maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu semua mengikuti jejak langkah syaitan dan barangsiapa yang mengikuti jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu mengajak kepada kekejian dan kemungkaran.” (An-Nur: 21)

Salah satu huraian yang sangat diperingatkan oleh Allah Taala kepada kita semua agar jangan sampai mengikuti ajakan syaitan ialah firman-Nya yang terdapat dalam surah Al-An’am yang maksudnya:

“Dan pada hari Tuhan mengumpulkan mereka semua, lalu berfirman, “Hai golongan jin, sesungguhnya kamu telah banyak menyesatkan manusia.” Kawan-kawan mereka dari golongan manusia menjawab, “Ya Tuhan kami, sebahagian kami telah merasa senang kepada yang lain dan kami telah sampai ke suatu waktu yang Engkau tentukan untuk kami.” (Al- An’am: 128)

Dalam menghuraikan salah satu adegan dari sekian banyak adegan yang akan terjadi pada hari kiamat nanti, Allah Taala menyisihkan kaum yang bersalah. Dan kepada mereka diajukan pertanyaan yang bernada mencemuh, mengapa suka mentaati ajakan syaitan dan mengapa pula suka menyembahnya.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sisihlah kamu semua pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa! Bukankah Aku (Allah) telah memerintahkan padamu semua hai Bani Adam agar kamu semua jangan sampai memuja-muja syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuhmu yang nyata. Dan hendaklah kamu semua menyembah Aku. Inilah jalan yang benar. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sejumlah besar kamu semua. Apakah kamu semua tidak mengerti?” (Yasin: 59-62)

Dalam bahagian yang lain, akan terjadi pada hari kiamat itu syaitan menghadapkan pembicaraannya kepada para pengikutnya dan memberikan cemuhannya kepada mereka mengapa dapat disesatkan dan mengapa mengikuti ajakannya.

Allah Taala menerangkan yang maksudnya:

“Syaitan berkata setelah perkara diputuskan: “Sesungguhnya Tuhan telah menjanjikan perjanjian yang sebenarnya kepada kamu semua dan aku pun berjanji pula kepada kamu semua, kemudian aku mungkiri. Aku sendiri tidak mempunyai kekuasaan apa-apa kepadamu, melainkan kamu semua kuajak dan kamu semua menuruti kemahuanku. Oleh sebab itu, janganlah aku kamu semua cela, tetapi celalah dirimu sendiri. Aku tidak dapat menjadi penolongnya dan kamu semua pun tidak dapat menjadi penolongku. Aku sejak dahulu pun tidak juga membenarkan kamu semua mempersekutukan aku dengan Tuhan. Sesungguhnya orang-orang yang bersalah itu akan mendapat siksaan yang pedih.” (Ibrahim:22)

Dalam mengupas tafsiran ayat ini, Ibn Katsir berkata seperti berikut:

“Allah Taala memberitahu perihal perbualan yang dihadapkan oleh Iblis kepada para pengikutnya dan ini terjadi setelah keputusan diambil mengenai siapa yang berhak masuk syurga dan siapa yang harus merasai siksaan api neraka. Pada saat itu, Iblis laknatullah berpidato, pada saat sesulit itu dia mengemukakan isi hatinya, suatu ucapan yang sungguh-sungguh tidak diinginkan oleh para pengikutnya. Tetapi ini harus dilaksanakan, agar kesedihan yang dideritai oleh orang-orang yang berdosa itu semakin bertambah-tambah dan bertompok-tompok, kesusahannya bertimbun-timbun dan penyesalannya tidak habis-habis.

“Iblis berkata, “Allah Taala itu sudah memberikan janji yang benar yang dituangkan dengan seruan-seruan yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya. Bkankah Allah Taala sudah menjanjikan kepada kamu semua akan memperolehi syurga dan keselamatan, jikalau kamu semua mengikut rasul-Nya itu. Ini adalah janji yang benar. Ini adalah berita yang tidak dusta. Tetapi tiba-tiba kamu semua terpesona oleh ajakanku. Aku pun berjanji, namun janjiku adalah palsu dan pasti kusalahi. Mestinya kamu sudah pernah mendengar firman Allah Taala (yang bermaksud):

“Syaitan itu menjanjikan kepada mereka dan memberikan angan-angan kosong. Tidaklah yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipuan belaka.” (An-Nisa’:120)

“Bukankah Allah Taala sudah berfirman pula dalam menceritakan keadaanku iaitu (yang bermaksud):

“Aku ini tidak mempunyai kekuasaan sama sekali ke atasmu semua.” (Ibrahim:22)

“Jadi apa yang aku ajak dan apa yang aku serahkan kepadamu semua itu tidak ada dalil kebenarannya sama sekali, bahkan tidak beralasan apa-apa, melainkan hanyalah sebagai ajakan seorang penipu sahaja.

Tetapi anehnya, mengapa kamu semua tiba-tiba mengikuti ajakanku itu, padahal hanya seperti ini sajalah kenyataannya. Sementara itu di sebelah sana ada rasul Tuhan yang nyata-nyata memberikan penerangan-penerangan yang baik dan benar dengan disertai bukti dan dalil yang hak sebagai tanda kebenaran daripada ajakan yang dikemukakan itu. Ajakan rasul yang baik itu, kamu semua ingkari. Akhirnya kamu semua telah menjadi sebagaimana yang sudah kamu lakukan itu. Sayang sekali, sayang….

“Oleh itu, aku minta kamu semua janganlah mencela aku pada hari ini. Celalah dirimu sendiri yang bodoh dan dungu serta tidak dapat berfikir itu. Jadi, dosanya haruslah kamu semua tanggung sendiri sebab hujah yang benar sudah kamu ingkari dan sebaliknya kamu semua telah mengikuti ajakanku yang semata-mata menjurus ke arah kebatilan. Sudah jelas bahawa aku tidak dapat memberikan pertolongan kepadamu, aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua daripada siksaan yang pasti harus kamu deritai ini.

“Bukankah sejak dulu aku sudah tidak membenarkan kalau kamu semua menyengutukan aku dengan Allah yang Maha Esa, tetapi masih juga kamu semua lakukan.”

Demikianlah lebih kurang isi pidato yang akan diucapkan syaitan nanti pada hari kiamat setelah selesainya keputusan.

Qatadah berkata, “Yang tidak dibenarkan oleh syaitan itu ialah sebab yang menjadikan orang-orang itu menyengutukan syaitan dengan Allah Taala sebelum terjadinya kemusyrikan itu sendiri.”

Ibnu Jarrir pula berkata, “Syaitan itu berkata, “Sebenarnya aku sendiri tidak setuju kalau aku ini dijadikan sekutu bagi Allah Taala…. Apa yang dikatakannya ini dianggapnya sebagai pendapat yang tepat dan rajih.”

Selanjutnya dia berkata, “Nanti pada waktu manusia dan kawannya (syaitan) itu sama-sama berdiri menghadap ke hadrat Allah Taala di akhirat, lalu manusia itu mengatakan pengaduannya, “Ya Allah, kawanku syaitan inilah yang telah menyesatkan aku sehingga terlalai daripada mengingatimu sesudah aku menerima peringatan dan petunjuk yang baik sebelum itu.”

Lalu syaitan yang menggodanya ketika di dunia seraya berkata, “Ya Allah, hukannya aku yang menyesatkan dia tetapi dia sendiri sebenarnya yang sudah dalam kesesatan yang nyata sekali.”

Untuk menghentikan perdebatan kedua-dua makhluk celaka itu, Allah Taala berfirman yang maksudnya:

“Jangan kamu semua bertengkar di hadapan-Ku. Sesungguhnya Aku telah memberikan peringatan kepada kamu semua. Keputusan-Ku tidak boleh diubah dan Aku tidak berbuat sewenang-wenang terhadap hamba-hamba-Ku.” (Qaf:28-29)

Maksudnya ialah: “Kamu semua tidak perlu bertengkar sekarang ini sebab sudah tidak berguna lagi. Bukankah Aku telah memberikan bimbingan dengan melalui para rasul-Ku, kitab suci pun sudah Kuturunkan, hujah, keterangan dan bukti-bukti yang benar pun sudah sampai ke telingamu.”

Dan dengan hujah-hujah yang diberikan, di mana rasionalnya Nik Aziz sanggup menerima bantuan daripada syaitan untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional. Tidakkah Nik Abdul Aziz telah melakukan perlanggaran yang sangat besar terhadap ingatan-ingatan Allah Taala tentang bahayanya syaitan dan Iblis. Sekiranya Allah Taala sendiri telah mengingatkan bahawa Syaitan dan Iblis tidak lebih daripada tipudaya kepada manusia, mengapa pula Nik Aziz mengeluarkan hujah yang dia sanggup menerima bantuan daripada syaitan dan Iblis?

Maka begitu jelaslah bahawa tentangan terhadap Nik Aziz dan sebahagian besar daripada kepemimpinan PAS yang tidak membantah langsung dengan kata-kata kufur Nik Aziz merupakan tentangan serta permusuhan terhadap Iblis dan Syaitan.

Tiada langsung sebarang kerugian apabila menentang Nik Aziz dan PAS, bahkan tentangan serta permusuhan itu akan dapat menyelamatkan kita daripada diperdayakan oleh Iblis dan Syaitan serta dimalukan di hadapan Allah Taala kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");