Perak Hari Ini

Perak guna pendekatan dua hala

Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan dua hala dalam menyokong sembilan projek baru yang diumumkan di bawah Projek Permulaan (EPP) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) khususnya bagi sektor perlancongan di negeri ini.

Exco Pelaburan, Industri, Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, pendekatan terbaru itu merupakan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mempercepatkan lagi kemajuan sesuatu projek.

Menurutnya, jika sebelum ini Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) mengunakan pendekatan sehala dengan mencari program-program ekonomi yang bersesuaian untuk dimajukan, kini kerajaan negeri pula akan melakukan perkara yang sama.

“Kita mahu memberikan pendekatan yang berbeza daripada sebelum ini. Oleh itu, kita akan mencadangkan beberapa program-program ekonomi yang berpotensi untuk diberikan kepada kerajaan pusat,” katanya selepas merasmikan Festival Seni Persembahan Perak (PPAF) 2011, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sembilan projek baru yang bakal menarik pelaburan berjumlah RM2.26 bilion serta menjana RM11.71 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar (GNI) menjelang 2020 iaitu tambahan kepada 14 projek yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Katanya, projek itu merangkumi beberapa bidang pelaburan di bawah aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) iaitu pelancongan, pertanian, kelapa sawit dan getah, elektrikal dan elektronik serta minyak, gas dan tenaga.

Sementara itu, Hamidah menyambut baik keputusan kerajaan yang akan meningkatkan kemudahan pelancongan di Pulau Pangkor melalui salah satu projek yang diumumkan di bawah NKEA pelancongan.

Katanya, pemilihan tersebut merupakan satu keputusan yang tepat dan selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu menjadikan sektor pelancongan sebagai sumber ekonomi kedua negeri itu.

“Apa yang diumumkan Perdana Menteri semalam memang amat bersesuaian dan pemilihan Pulau Pangkor sememangnya pemilihan yang tepat dan selaras dengan hasrat kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");