Perak Hari Ini

3,000 rakyat hadiri jamuan bersama Sultan Perak

Lebih 3,000 rakyat yang mewakili segenap lapisan masyarakat membanjiri Arena Square, Kuala Kangsar pada Sabtu bagi memeriahkan majlis jamuan rakyat sempena perayaan ulangtahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke 83.

Ketibaan Sultan Azlan bersama Permaisuri Perak, Tuanku Bainun disambut meriah dengan paluan kompang, gendang Cina dan India sambil diiringi bunga manggar berwarna-warni.

Rakyat juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalam-salaman dengan Sultan Azlan walaupun mereka terpaksa menunggu seawal jam 3 petang dan berbaris panjang untuk bertemu Baginda secara lebih dekat.

Berangkat sama, Raja DiHilir Perak, Raja Jaafar Raja Musa dan isteri, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Menteri Besar; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim; Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Datuk Gazali Jalal serta tetamu kenamaan lain.

Tetamu yang hadir turut disajikan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan tempatan yang menarik seperti koir yang bertemakan semangat cinta negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Zambry berkata, sistem demokrasi berpelembagaan yang dipraktikkan Malaysia berjaya memajukan negara ini berdasarkan kepada prinsip semak dan imbang yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Katanya, prinsip itu terus diamalkan di Perak dan segala urusan atau perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat akan dirujuk kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mendapat perkenan Baginda.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang dan ruang kepada kerajaan negeri untuk mendapat tunjuk ajar atau teguran daripada Tuanku dalam setiap urusan mentadbir negeri ini.

“Kebijaksanaan dan pandangan jauh Sultan Azlan juga mengajar saya untuk bekerja keras demi menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya lagi.

Justeru, rakyat katanya, perlu memahami kepentingan sistem raja berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia dan mempertahankan sistem itu bagi memastikan keamanan yang dikecapi hari ini terus berkekalan.

Tegasnya, keamanan serta kedamaian yang dinikmati Malaysia bukan tercipta dengan sendiri dan pergolakan di beberapa negara dunia perlu menjadi iktibar kepada rakyat untuk memelihara keadaan itu dengan sebaik mungkin.

“Peliharalah suasana aman dan makmur ini dengan sebaik-baiknya demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");