Perak Hari Ini

Khidmat pantas dan mudah, antara faktor kejayaan PNB: Ahmad Sarji

Perkhidmatan pantas dan mudah dikenalpasti antara tujuh faktor yang menyumbang kepada kejayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengurus dana saham amanah yang kini berjumlah 127 bilion unit, kata Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Bagi menarik pelanggan, PNB katanya melantik 1,600 ejen di beberapa bank terkemuka seperti Maybank, RHB, CIMB dan Pos Malaysia bagi menyediakan khidmat nasihat dalam perancangan kewangan dan pelaburan unit amanah saham.

“Selain itu, kita juga menyediakan perkhidmatan secara online melalui Maybank 2U dan CIMB Clicks bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan pantas dan mudah.

“Kita juga melaksanakan program pendidikan pelaburan yang berterusan seperti Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM), kuiz pelaburan serta menubuhkan Kelab Pelaburan Bijak di 104 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara,” katanya berucap pada majlis penutup MSAM 2011 di Ipoh, petang tadi.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Dalam perkembangan berkaitan, PNB juga katanya, membuat pelaburan secara berhemah dengan menjalankan penyelidikan teliti terhadap analisis pasaran.

Pembayaran kadar dividen yang kompetitif juga antara faktor yang turut menyakinkan pelabur untuk menggunakan khidmat PNB, katanya lagi.

“Kita juga mempunyai kualiti aset bangunan yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur seperti Wisma Nusantara dan Bangunan SPPK serta tidak ketinggalan di luar negara iaitu di Brisbane, Australia.

“PNB turut menguruskan dana bernilai RM189 bilion yang dimiliki syarikat besar seperti NorthPort dan Pembangunan Industri Kewangan Berhad (MIDF),” katanya.

Selain itu, PNB juga katanya, mantap dari segi kewangan Islam termasuk Takaful Ikhlas menguasai lebih 59 peratus daripada perkhidmatan takaful negara diikuti EtiQa Takaful Maybank Islamic yang turut menguasai 17 peratus daripada pasaran itu.

“Difahamkan, jumlah pengunjung MSAM 2011 yang berlangsung di Ipoh sudah melebihi 177,000 orang, melebihi sasaran awal kita iaitu 160,000 sahaja.

“Dengan adanya MSAM ini, kita berharap pengunjung dapat mengetahui maklumat terkini berkaitan pelaburan unit saham amanah, perancangan kewangan serta tidak ketinggalan membongkar rahsia kejayaan PNB selama ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");