Perak Hari Ini

Ibu bapa perlu elak sindrom penafian jika anak autisma: Rosmah

Golongan ibu bapa dinasihatkan supaya mengelak diri daripada sindrom penafian (denial syndrome) semata-mata kerana tidak sanggup mendengar dan menerima abnormaliti atau kecacatan yang dialami anak mereka.

Isteri Perdana Menteri yang juga Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, sebaliknya berkata, ibu bapa tidak seharusnya menyesali kekurangan yang terdapat pada anak mereka dan menerimanya sebagai fitrah daripada Tuhan.

Tambahnya, pemeriksaan awal perlu dijalankan kerana semakin lewat anak ini dirawati, semakin sukar untuk masalahnya diatasi.

Selain itu, BAKTI katanya, menganjurkan Kempen Intervensi bagi memupuk kesedaran di kalangan ibu bapa bahawa kanak-kanak autisma masih berpotensi untuk pulih seperti kanak-kanak normal lain.

“Program Intervensi ini juga bermatlamat menyediakan kanak-kanak autisma ke alam persekolahan formal di samping memberi pendidikan khas supaya mereka mampu menguruskan sendiri aktiviti hariannya.

“Dengan slogan Mencegah Mudah Dari Memulih, BAKTI berharap pelaksanaan kempen ini dapat meningkatkan pengetahuan dalam mengenalpasti tanda-tanda awal kemungkinan berlaku kecacatan kepada kanak selain memberi kemahiran asas kepada ibu bapa cara mengendalikan anak mereka,” katanya berucap sempena pelancaran Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kepada Kanak-Kanak, di Stadium Indera Mulia, di Ipoh, hari ini.

Kempen itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rosmah berkata, selain seminar khas mengenai autisma, Semai Bakti juga menyediakan dokumentari khusus 13 siri yang berbentuk ilmiah yang akan disiarkan jam 9.30 malam ini di RTM1.

Program dokumentari itu katanya, diharap mampu memberi impak serta kesan positif yang berpanjangan kepada penonton mengenai kepentingan intervensi di kalangan kanak-kanak autisma.

Bagi mencapai matlamat sama, BAKTI juga tambahnya menerbitkan Buku Manual Pencegahan Awal Kecacatan Kanak-Kanak dan Asas Perubatan Kecemasan Untuk Ibu Bapa dan Penjaga Edisi 2011 untuk dijadikan rujukan kepada ibu bapa dan penjaga.

Kata Rosmah lagi, pengalaman dari serata dunia menunjukkan program intervensi awal mampu membantu kanak-kanak autisma memaksimumkan potensi mereka dalam bidang-bidang tertentu.

“Dalam soal pengendalian kanak-kanak autisma, kita perlu memberi perhatian kepada dua prinsip iaitu mengenalpasti kecacatan dan seterusnya memulakan intervensi atau langkah pemulihan di peringkat awal.

“Menurut kajian, kanak-kanak autisma mempunyai tahap imaginasi yang tinggi dan berupaya membuat sesuatu perkara dengan baik dan cepat.

“Justeru, saya menyeru kepada semua ibu bapa dan masyarakat jika kanak-kanak autisma mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang, kita seharusnya mengembangkan minat dan bakat tersebut agar dapat dijadikan sumber mata pencarian apabila dewasa kelak,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak autisma boleh dirawati dengan penjagaan sempurna dan ini bermakna masih ada harapan dan sinar bahagia untuk memulihkan mereka.

Ujarnya, sebarang usaha Program Semai Bakti seharusnya perlu lebih kolaboratif dengan pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta masyarakat dan dibuat secaa berkumpulan ataupun kolektif untuk mencapai hasil yang lebih baik.

Golongan korporat dan lebih ramai orang awam katanya, disaran tampil memberi sokongan dengan menyumbang kepada program yang dijalankan demi masa depan kanak-kanak autisma.

“BAKTI turut ingin merakamkan penghargaan buat Universiti Islam Malaysia yang bertungkus-lumus menyediakan isi kandungan dokumentari khas mengenai autisma dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Radio Televisyen Malaysia kerana menyiarkan dokumentari tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");