Perak Hari Ini

Bau busuk sisa kumbahan dan sampah menghantui penduduk Taman Desa Pinji

Kehidupan penduduk Taman Desa Pinji saban hari semakin menyesakkan berikutan terpaksa menghidu bau busuk disebabkan masalah timbunan sampah di bekas loji sisa kumbahan.

Masalah yang telah berlarutan sejak beberapa tahun itu menjadi semakin teruk apabila hari hujan dimana sisa takungan loji itu akan melimpah di jalan raya dan sekaligus menyebabkan sampah berteraburan di kawasan berkenaan.

Salah seorang penduduk yang ditemui, V.Samugam, 64 tahun memberitahu masalah itu mula terjadi apabila loji sisa kumbahan ditukar ke kawasan lain dan ia menyebabkan bekas takungan itu menjadi tempat pembuangan sampah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Taman ini telah wujud sejak 25 tahun lalu, sebelum ini memang loji ini digunakan tapi sebab kedudukan yang terletak bersebelahan dengan gerai makan, maka ia ditukarkan ke kawasan lain di dalam taman ini juga.

“Sejak loji ini tidak digunakan, ia menjadi tempat pembuangan sampah sarap dan sehingga kini… kita boleh tengok loji ini sudah jadi macam kolam sampah.

“Bayangkanlah bila hujan, bau sisa kumbahan dari rumah-rumah bergabung dengan bau sampah… siapa yang tahan kalau hari-hari kena hidu bau busuk,”katanya.

Senada dengan rakannya, bagi Zaliman Azani Mohd Sharif, 56 tahun, kehidupan penduduk disini seumpama tinggal di tapak pelupusan sampah.

Ini kerana setiap hari, mereka disajikan dengan bauan sisa kumbahan dan bagi penduduk yang rumah terletak berhampiran dengan kawasan loji itu maka terpaksalah mereka menghidu bau sampah.

“Setiap hari memang tak ada bau lain kita hidu… tutup semua pintu dan tingkap pun… bau busuk sampah masih masuk ke dalam rumah.

“Kalau hujan lagi teruk…bertambah pada hari Jumaat… penduduk yang beragama Islam terpaksa meredahi lopak-lopak sisa air kumbahan itu untuk ke masjid, dan kalau bernasib malang ada yang terkena percikkan air tersebut,”tambah beliau.

Katanya lagi, akibat dari pencemaran bau sampah sarap, kebanyakkan kanak-kanak di taman berkenaan mengalami masalah kesihatan.

Bagi,Salmiah Abdul Rani, 60 tahun, apa yang diharapkan kini adalah tindakan dari pihak kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

“Sampai bila harus kami hidu bau busuk macam ini…orang tua pun boleh sakit.. budak-budak pun dapat penyakit…kami mahukan kehidupan yang sihat tanpa pencemaran bau.

“Saya harap kerja-kerja pembersihan dapat dilaksanakan dengan cepat,”katanya kepada PerakToday.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");