Perak Hari Ini

Generasi kedua diingat jangan terpengaruh pengambilan peneroka baru Felda

Kegiatan mengedar borang pengambilan peneroka baru dikesan secara berleluasa di penempatan Felda Gugusan Besout, dekat Sungkai yang dipercayai didalangi oleh parti pembangkang sebagai usaha menarik sokongan generasi kedua di Daerah Batang Padang.

Adun Slim, Datuk Khusairi Talib, sehubungan itu mengingatkan generasi kedua Felda supaya tidak terpengaruh dengan taktik yang digunakan pihak terbabit kerana sejak 1990 lagi, pengambilan peneroka baru sudah dibekukan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Ia satu bentuk penipuan kepada generasi kedua kerana pengambilan peneroka baru menyertai Felda sudah dibekukan sejak 1990 dan jika mereka diterima sekalipun, di mana letaknya tanah yang akan diberikan kepada generasi ini?

“Apabila ditanya kepada pihak yang mengedarkan borang itu, beliau sendiri memaklumkan tidak tahu secara jelas di mana lokasi tanah yang disediakan oleh Felda,” katanya ketika mendedahkan perkara itu pada majlis serah Suratan Hak Milik Peringkat 1,2 dan 4 kepada 95 peneroka Felda Trolak Timur, dekat Sungkai, hari ini.

Khusairi berkata, sebagai contoh, jika si peneroka baru diberi tanah yang dimiliki generasi pertama, pasti akan berlaku rasa tidak puas hati kerana 55 peratus saham Felda Plantation dimiliki oleh Koperasi Peneroka Felda yang mempunyai lebih 117,000 ahli di seluruh negara.

Katanya, pengedaran borang itu juga jelas bermotifkan politik kerana dinyatakan pemohon perlu menjadi ahli parti terbabit.

“Selepas borang itu diisi, ia perlu dihantar kepada pejabat parti berkenaan di Felda Besout dan antara syarat yang ditetapkan ialah si pemohon perlu menjadi ahli dahulu sebelum mengemukakan permohonan terbabit kepada Felda,” tegasnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mahu Pejabat Tanah dan Daerah khususnya Batang Padang supaya mempercepatkan proses kelulusan dan penyerahan hak milik tanah kepada peneroka yang sudah selesai membuat bayaran kembali.

Tegasnya, hak milik tanah perlu diserahkan segera jika peneroka memenuhi syarat yang ditetapkan sekaligus menyangkal dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan cuba membeli atau memancing undi apabila menyerahkannya ketika pilihanraya semakin hampir.

“Sebenarnya pemberian hak milik tanah ini tidak mengira masa dan jika peneroka memenuhi syarat yang ditetapkan, ia perlu diserahkan kerana ia adalah hak mereka,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menasihatkan peneroka yang sudah menerima hak milik tanah supaya tidak menjual tanah mereka meskipun ada pihak cuba mengintai peluang itu dengan menjanjikan habuan ratusan ribu ringgit.

“Ada juga peneroka di negeri ini yang menggadaikan tanah mereka untuk mendapatkan pinjaman tetapi akhirnya tanah terpaksa dilelong oleh pihak bank. Lebih menyedihkan apabila peneroka itu terpaksa keluar dari rumah yang didudukinya.

“Kejadian ini perlu dijadikan iktibar dan pengajaran kepada peneroka lain supaya tidak bertindak seumpama itu kerana dalam perjanjian mereka antara Felda, tanah itu tidak boleh dijual kepada pihak ketiga tetapi hanya boleh dipindah milik kepada waris terdekat,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pihak pembangkang bahawa Felda menipu kerana hak milik tanah akan diserahkan selepas bayaran kembali berjaya diselesaikan oleh pihak peneroka.

“Felda tidak menganggap peneroka sebagai pekerja tetapi sebagai pemilik bersama dan apabila bayaran kembali diselesaikan, mereka mempunyai hak untuk mendapat tanah yang diusahakan.

“Ini berbeza dengan pengurusan estet seperti Golden Hope dan UP Plantation kerana apabila pekerja sudah pencen, mereka ini diminta keluar tetapi tidak mendapat sebarang tanah atau pampasan,” ulasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");