Perak Hari Ini

MNS dan The Body Shop Malaysia serah petisyen “Selamatkan Temengor”

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama The Body Shop Malaysia hari ini menyerahkan petisyen “Selamatkan Temengor” yang mengandungi 82,715 tandatangan kepada kerajaan negeri Perak bagi usaha memelihara dan mengekalkan keseimbangan ekosistem dan biodiversitinya.

Presiden MNS Prof. Dr Maketab Mohamed berkata kempen “Selamatkan Temengor” yang dilancarkan itu bukan menunjukan kerajaan negeri Perak tidak menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan baik dalam usaha memelihara Kompleks Hutan Belum-Temengor.

“Apabila dilancarkan ia adalah bukti komitmen MNS dan The Body Shop untuk memastikan Hutan Belum-Temengor sentiasa terpelihara,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan petisyen tandatangan itu di Bilik Gerakan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Katanya petisyen itu ditandatangan oleh pelanggan The Body Shop dan juga sahabat Hutan Temengor daripada pelbagai lapisan masyarakat negara ini melalui secara terus dan “online” sejak dilancarkan selama enam bulan mulai Hari Bumi pada April 2010.

Beliau berkata MNS-The Body Shop turut melobi kerajaan negeri supaya tidak mengeluarkan lesen pembalakan baru serta menghentikan kegiatan pembalakan secara berperingkat sehingga 2012 di Hutan Temengor.

Selain itu, ia juga menggesa kerajaan negeri menyediakan pelan pengurusan bersepadu untuk Kompleks Hutan Belum-Temengor serta meningkatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap pemerdagangan dan pemburuan hidupan liar.

Sementara itu Exco Kanan kerajan negeri Datuk Hamidah Osman berkata perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri mengambil perhatian perkara yang diusahakan oleh MNS-The Body Shop ini. Banyak usaha yang kita lakukan untuk memelihara alam semulajadi dan baru-baru ini kerajaan negeri juga telah luluskan penubuhan Majlis Polisi Hijau negeri Perak (Perak Green Policy Council) yang tidak hanya memberi tumpuan kepada kepentingan hutan tetapi juga teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata nilai ekonomi keseluruhan hasil sumbangan industri perkayuan negeri sebanyak M200 juta dan adalah tidak adil untuk kerajaan negeri menghentikan kegiatan pembalakan di situ.

Terdahulu beliau mewakili Zambry menerima petisyen itu yang diserahkan oleh Prof. Dr Maketab dan Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Mina Cheah Foong.

Hutan Simpan Temengor mempunyai keluasan 147,705 hektar merangkumi hutan perlindungan seluas 61,880 hektar, kawasan zon penampan Tasik Temengor seluas 2,130 hektar dan kawasan tapak kajian MNS seluas 4,578 hektar, yang mana kesemua kawasan ini tidak dibuka untuk sebarang aktiviti pembalakan.

Kawasan seluas 79,117 hektar pula itu diklasifikasikan sebagai hutan pengeluaran di bawah perolehan perbekalan dan boleh dibuka bagi tujuan pembalakan, diurus dengan prinsip pengurusan hutan secara berkekalan serta dijalankan rawatan pemulihan dalam Hutan Simpan Temengor.

Sementara itu Hutan Simpan Belum seluas 132,133 hektar terbahagi kepada dua bahagian iaitu kawasan utara seluas 117,800 hektar sebagai Taman Negeri dan kawasan selatan seluas 14,333 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal, kedua-duanya tidak boleh diteroka.

BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");