Perak Hari Ini

Pemaju RPT Pengkalan Permai diingatkan patuhi peraturan keselamatan

Pemaju projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Pengkalan Permai, dekat Pengkalan Pegoh hari ini diberi peringatan supaya mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan ketika menjalankan kerja menambak tanah yang masih berbaki dua bulan lagi.

Teguran Adun Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman itu menyusul berikutan rasa tidak puas hati yang disuarakan penduduk sekitar di atas kegagalan pihak pemaju menunaikan janji ketika menjalankan kerja menambak tanah di situ.

Ujarnya, sepanjang tempoh itu, pemaju harus mengingatkan pemandu lori supaya tidak memandu laju serta beroperasi mengikut waktu yang dibenarkan sahaja bagi mengelak kejadian tidak diingini memandangkan laluan itu terletak berdekatan sekolah.

Katanya, penduduk juga mendakwa kawasan sekitar akan diseliputi debu pada musim panas dan pemaju sepatutnya menyiram laluan keluar masuk lori yang mengangkut tanah dengan air bagi menyelesaikan masalah itu.

“Projek ini membabitkan kawasan seluas 51.6 hektar yang akan dibangunkan sebagai rancangan penempatan tersusun yang membabitkan 429 lot.

“Sebelum ini, kerajaan sudah memberi syarat kepada pemaju supaya mematuhi waktu beroperasi serta menyiram air di atas jalan bagi mengatasi masalah debu.

“Oleh itu, saya mahu pemaju mematuhi arahan yang dikeluarkan dan kita tidak mahu masalah ini terus menjejaskan kehidupan penduduk di sini yang bimbang kesihatan dan keselamatan mereka terancam jika ia terus berlarutan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi keluar masuk lori ke tapak projek, petang tadi.

Sebelum memulakan kerja menambak tanah, pemaju diminta mematuhi waktu operasi yang ditetapkan iaitu dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala di sebelah petang pula, masa yang dibenarkan ialah dari jam 2 hingga 5 petang.

Hamidah yang juga Exco Kanan negeri, berkata lagi, pemaju juga diminta agar menyegerakan kerja menambak tanah yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan lagi.

“Saya juga berharap pemaju bertanggungjawab dalam hal ini kerana kita tidak mahu mengambil tindakan yang boleh melewatkan projek ini.

“Oleh itu, tindakan sewajarnya perlu diambil jika pemaju tidak mahu tindakan memberhentikan kerja dikenakan terhadap mereka,” katanya lagi.

Mengulas isu keretakan rumah yang turut didakwa penduduk akibat gegaran daripada kenderaan berat yang menggunakan laluan berdekatan rumah mereka, Hamidah berkata, pemaju perlu menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan susulan dengan segera sebelum ia menjadi lebih serius.

Sementara itu, jurucakap pemaju yang ditemui Peraktoday.com berkata, pihaknya menggunakan antara 12 hingga 17 buah lori setiap hari bagi menyiapkan kerja menambak tanah untuk projek RPT Pengkalan Permai.

Ujarnya, kerja menambak tanah dimulakan kira-kira tiga bulan lalu dan dijangka siap menjelang Ogos depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");