Perak Hari Ini

Perkhidmatan bas henti-henti di Daerah Manjung akan beroperasi semula: Dr Mah

Berita gembira buat pengguna di Daerah Manjung apabila perkhidmatan bas henti-henti yang ditamatkan operasinya kira-kira empat tahun lalu bakal beroperasi semula dengan menggunakan 18 buah bas baru yang serba moden serta dilengkapi sistem keselamatan canggih.

Inisiatif kerajaan negeri itu bukan sahaja dapat memberi kemudahan yang selesa tetapi juga menjamin keselamatan pengguna kerana dipasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penentu kedudukan sejagat (GPRS).

Tujuh laluan akan diperkenalkan antaranya Seri Manjung, Pantai Remis, Sitiawan, Changkat Kruing dan Hospital Manjung.

Dijangka beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi, ia dikendalikan oleh syarikat Bas Rakyat Sdn Bhd yang ketika ini sedang menunggu kelulusan dan permit operasi daripada Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Exco Pengangkutan Awam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata syarikat itu juga menerima subsidi RM4,000 sebulan bagi setiap bas yang digunakan untuk tempoh lima tahun.

“Kerajaan negeri begitu prihatin dengan keperluan pengguna pengangkutan awam dan Daerah Manjung dipilih sebagai projek perintis kepada usaha kita dalam menaiktaraf perkhidmatan bas henti-henti di Perak,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mah berkata, pihak pembangkang terutamanya Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham cuba menarik sokongan rakyat dengan membangkitkan isu perkhidmatan bas di kawasan itu sedangkan ketika 11 bulan memerintah, tiada langkah diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengatasi masalah itu.

Jelasnya, rekod daripada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dalam tempoh itu juga menunjukkan tiada sebarang perancangan menyediakan perkhidmatan bas di kawasan itu seperti yang diwar-warkan Pakatan Rakyat.

“Ngeh semakin gelisah dan bimbang dengan usaha komited yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menyediakan sistem pengangkutan awam terbaik kepada rakyat Perak,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan Bas Rakyat, Abu Talib Hafis Syed Abdul Fasal, berkata syarikatnya akan menggunakan dana sendiri dahulu bagi menjalankan operasi perkhidmatan bas itu kelak.

“Kita sudah menerima kesemua bas yang akan digunakan bagi perkhidmatan henti-henti ini dan ia diharap dapat beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.

Selain dilengkapi sistem keselamatan canggih, bas itu katanya, boleh membawa 40 penumpang pada satu-satu masa serta mempunyai pelbagai kemudahan yang mesra pengguna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");