Perak Hari Ini

Nelayan, antara tiga penerima bantuan baikpulih rumah di Parlimen Beruas

Kira-kira enam bulan lalu, nelayan, Abdullah Hashim, dari Kampung Pengkalan Bharu, dekat Beruas begitu resah apabila memikirkan struktur rumah yang didiaminya sejak puluhan tahun lalu sudah mengalami keretakan dan tambah menyedihkan, bahagian bumbung juga bocor di sana-sini.

Dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM400 sebulan, bapa empat anak ini begitu mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya sebelum ia mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beruas.

Di bawah program Jelajah One Malaysia (JOM) yang diperkenalkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO, Abdullah terpilih menjadi salah seorang daripada tiga penerima program baikpulih rumah di peringkat Parlimen Beruas.

Dengan peruntukan RM15,000 dan kerjasama daripada Pusat Giat Mara (PGM) cawangan Beruas, sekumpulan pelatih yang mengikuti latihan dalam bidang penyelenggaraan bangunan baru-baru ini bergotong-royong memasang bumbung baru di rumah pusaka milik Abdullah.

Bercakap kepada Peraktoday.com, Abdullah ternyata begitu gembira dengan bantuan yang dihulurkan oleh Pemuda UMNO dan PGM yang menjalin kerjasama erat bagi menjayakan program baikpulih rumah yang didiaminya selama ini.

“Saya ingin menyatakan penghargaan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Beruas yang begitu prihatin dengan nasib yang saya keluarga dan mengambil tindakan segera bagi meringankan beban yang ditanggung selama ini.

“Dengan bantuan bumbung baru ini juga, kami sekeluarga dapat mendiami rumah ini dalam keadaan lebih selesa pada masa depan,” katanya selepas majlis gotong-royong baikpulih dan Jelajah One Malaysia (JOM) yang dirasmikan oleh Penasihat kepada Menteri Besar, Datuk Chang Ko Youn.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beruas, Ali Zainal Abidin dan Pengurus Pusat Giat Mara (PGM) negeri, Jamaluddin Ali.

Sementara itu, Ko Youn memuji usaha yang diambil oleh Pemuda UMNO Beruas dalam menjayakan program baikpulih rumah bersama PGM negeri yang diberi kepercayaan menjadi agensi pelaksana bagi menyiapkan 70 projek sama di semua parlimen pada tahun ini.

Jelasnya, pendekatan pemimpin turun padang perlu diteruskan bagi mendekati dan mendalami masalah yang dihadapi rakyat.

Penyertaan PGM dalam projek baikpulih rumah juga katanya, dapat memberi peluang kepada pelatih untuk mempraktikkan apa yang dipelajari dengan suasana kerja sebenar.

“Selepas 2008, parti Barisan Nasional (BN) dan parti komponen utamanya termasuk UMNO mula membawa perubahan dengan melaksanakan pendekatan turun padang bagi mendekati rakyat.

“Melalui program JOM anjuran Pergerakan Pemuda UMNO ini, kita bukan sahaja dapat membantu dan menyelesaikan masalah rakyat tetapi juga merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin negeri dan Pusat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ali pula, menegaskan hampir 40 peratus masalah rakyat di parlimen itu yang berlarutan sejak 10 tahun lalu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lalu.

Pelatih PGM Beruas, Mohd Iqbal Hanafi Ilzan, 18, turut gembira kerana terpilih menyertai program baikpulih rumah anjuran Pemuda UMNO Beruas.

Katanya, penyertaan kali pertama itu cukup bermakna kerana beliau dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di bawah bimbingan kontraktor yang dilantik bagi menjayakan projek terbabit.

“Penyertaan ini juga memberi satu kepuasan kepada saya dan rakan lain kerana kami dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendiami rumah yang lebih selesa,” kata anak muda dari Kampung Serapoh, dekat Parit itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");