Perak Hari Ini

Pelajar luar bandar juga wajar terima pendidikan sempurna: Saripah

Anak-anak dari luar bandar harus melalui transformasi pendidikan supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam mempersiapkan diri menuju ke  era ekonomi baru, kata Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkipli.

Katanya, dalam usaha kerajaan negeri mencapai negeri maju, golongan luar bandar dan golongan keterbawahan tidak seharusnya menjadi golongan yang ketinggalan dalam pendidikan.

“Dalam era ini, segala bentuk pembangunan ekonomi dan negara bermula dengan pendidikan dan anak-anak daripada golongan ini juga mempunyai potensi untuk menjadi pemacu negara pada masa hadapan.

“Kepayahan hidup bukan lagi alasan kepada golongan ini untuk tidak berjaya dalam hidup…..mereka harus keluar daripada ‘gelembung’ pemikiran ini,“ katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Anak Angkat Projek Intelek Bina Upaya (IBU) di SK Suak Padi, dekat Bota, baru-baru ini.

Saripah berkata, perlaksanaan program intelek ini secara tidak langsung sejajar dengan dasar pembangunan negara yang mahu memastikan tiada komuniti ketinggalan dalam arus pembangunan.

Program anjuran BAIDURI dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya (YBU) ini mensasarkan pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM di sekolah luar bandar dari keluarga berpendapatan rendah untuk mengikuti program motivasi.

Sebanyak 10 buah sekolah daripada setiap daerah telah dikenalpasti dalam perlaksanaan projek intelek ini yang dijalankan dengan usaha sama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

MRCB telah menyumbang sebanyak RM150,000 bagi melaksanakan program motivasi kepada pelajar terbabit.

Dalam perkembangan sama, Datin Saripah berkata beliau berharap melalui program intelek ini, manfaatnya bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga mampu memberi kesedaran kepada ibu bapa.

“Melalui program ini, kami juga mensasarkan ibu bapa supaya mereka sedar akan betapa pentingnya pendidikan dalam era pembangunan ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");