Perak Hari Ini

Tadika Permata Bestari kedua di Ipoh

Satu lagi usaha kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Perak menerima pendidikan pra-sekolah terbaik dengan pembinaan satu lagi Tadika Permata Bestari di daerah Kinta.

Exco Kanan kerajaan, Datuk Hamidah Osman memberitahu peruntukkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut telah pun diluluskan dengan kos hampir RM 800 ribu.

Katanya lagi, selaras dengan hasrat kerajaan Perak ke arah‘Negeri berpengetahuan tinggi’, pembinaan Tadika Permata Bestari itu diharap dapat merancakkan lagi sistem pendidikan di negeri itu.

“Kita lihat memang ada keperluan untuk membina satu lagi tadika permata ini…ia merupakan yang kedua dibina dimana tadika yang pertama dibina di kawasan Bercham.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah kenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaan tadika permata ini…jadi dengan kelulusan dari pihak MBI…maka kita memilih tapak seluas 1 ekar di kawasan Sungai Rapat,”katanya kepada PerakToday.

Jelas beliau lagi, adalah kewajipan yang harus dipikul oleh kerajaan untuk membina asas pembelajaran sepanjang hayat.

Katanya, mewujudkan asas kukuh untuk kanak-kanak belajar dan membina kemampuan meneruskan pembelajaran amat penting bagi menentukan mereka terus menjadi aset kepada negara.

Dalam pada itu menurut Hamidah, kerajaan negeri juga sedang giat berusaha dalam mewujudkan Tadika Permata Bestari di setiap pejabat daerah di seluruh Perak.

Jelas beliau, setakat ini hampir semua pejabat daerah telah pun memiliki tadika masing-masing dan usaha itu dilihat banyak membantu meningkatkan prestasi kerja penjawat awam.

“Dengan adanya tadika di pejabat-pejabat daerah, jadi kita lihat penjawat awam dapat lebih fokus dalam kerja mereka dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Hamidah ditemui selepas membuat Lawatan Turun Padang di sekitar Taman Soon Choon pagi tadi.

Menerusi lawatan tersebut, beliau telah mengarahkan pihak MBI untuk meratakan sebuah padang permainan bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan trak joging.

Katanya, dengan struktur padang yang berbukit-bukit ia bukan sahaja akan membahayakan pengguna malah menyebabkan padang itu langsung tidak digunapakai.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan membina dewan orang ramai di kawasan terbabit memandangkan ia adalah antara keperluan masyarakat disitu.

“Kita akan usahakan permintaan rakyat disini untuk membina dewan orang ramai selain gelanggang futsal bagi memudahkan aktiviti riada dilakukan,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");