Perak Hari Ini

Mid Autumn Festival disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Perak 2012

Mid-Autumn Festival atau dikenali juga sebagai Pesta Kuih Bulan dan Tanglung akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke bandaraya Ipoh selepas disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Perak 2012.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sehubungan itu mahu jawatankuasa penganjur festival memikirkan pendekatan lebih kreatif pada tahun depan agar budaya unik masyarakat Cina itu dapat menjadi daya tarikan pelancong ke negeri Perak amnya dan Ipoh, khususnya.

“Kerajaan negeri berharap agar festival yang lebih meriah dapat dianjurkan pada tahun depan yang bakal diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Perak.

“Bagi memeriahkan lagi festival ini, pihak penganjur misalnya boleh menambah jumlah band pengiring menjadi lima band berbanding hanya satu tahun ini dan jarak perarakan membawa tanglung juga ditambah menjadi lebih jauh.

“Kerajaan negeri akan mengadakan pra-pelancaran Tahun Melawat Perak 2012 pada 24 September ini dan kita juga akan melihat keperluan untuk menambah bajet di sektor pelancongan bagi menjayakan segala program yang telah dirancang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Pesta Kuih Bulan dan Tanglung 2011 peringkat negeri Perak di tapak Bazar Bulat Ipoh, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Lebih 2,000 wargakota Ipoh termasuk pelancong asing memeriahkan pesta itu yang bermula jam 8 malam dan Dr Zambry turut berarak beramai-ramai dengan menyusuri beberapa jalan antaranya Jalan Mustapha Al Bakri, Jalan Raja Musa Aziz dan Jalan Yau Tet Sin sebelum berakhir di Jalan Theatre.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri berhasrat menjadikan pesta itu sebagai acara tahunan yang disambut dengan suasana meriah.

“Tahun ini, secara rasminya kerajaan negeri mengiktiraf pesta ini dan kita mahu menganjurkannya secara lebih meriah pada tahun depan dengan dikenali sebagai Mid Autumn Festival, iaitu pesta kuih bulan dan tanglung.

“Bagi masyarakat Cina, pesta ini cukup penting bagi mereka kerana ia melambangkan sesuatu yang cukup bermakna dalam kehidupan mereka kerana bulan melambangkan perpaduan keluarga dan pembentukan masyarakat.

“Perak sebuah negeri yang cukup bertuah kerana mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan memiliki budaya masing-masing dan melalui pesta seperti ini, kita dapat saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Jelasnya lagi, apabila semangat hormat-menghormati dapat dipraktikkan di kalangan rakyat jelata, negara akan menjadi aman dan harmoni.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");