Perak Hari Ini

Tubuh jawatankuasa khas pantau gaji lepasan graduan

KAMPUNG GAJAH – Kerajaan diminta mewujudkan satu badan khas bagi memantau dan mengawal kadar gaji lepasan universiti dalam negara bagi memastikan tidak lagi wujud jurang perbezaan tangga gaji yang ketara antara graduan Melayu dan bumiputera berbanding kumpulan etnik lain.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, langkah itu perlu memandangkan jurang gaji antara graduan Melayu dan bumiputera dengan kaum lain semakin ketara sejak akhir-akhir ini.

“Pergerakan Pemuda Umno mendesak, kerajaan agar menubuhkan badan khas tersebut bagi memastikan nasib graduan Melayu dan bumiputera setanding dengan kumpulan etnik lain.

“Kita mahu mereka turut mendapat gaji yang setanding dengan graduan bangsa lain namun mengapa mereka menerima gaji yang rendah sedangkan memiliki kelulisan yang setanding dengan kawan mereka berbangsa lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan oleh Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam Jumaat lalu.

Mat Noor berkata, graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2, 000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Menurutnya, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1, 000; RM1, 001 – RM1, 500 (29 peratus); RM1, 501 – RM2, 000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2, 000 ke atas.

Ianya berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1, 501 hingga RM2, 000 ke atas; RM1, 001 – RM1, 500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1, 000.

Bagi graduan berketurunan India pula, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1, 000; RM1, 001 hingga RM1, 500 (29 peratus); RM1, 501 – RM2, 000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2, 000.

Sohaimi berkata, bagi memberi kelebihan kepada graduan Melayu, Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu memberi pendedahan kepada bakal graduan diberi pendedahan kerja sebenar sebelum menamatkan pengajian mereka.

“Mereka (IPT) dicadangkan menghantar pelajar mereka menyelami dunia pekerjaan sebenar menerusi program latihan industri yang perlu dinilai sebelum mereka menamatkan pengajian mereka.

“Beri keyakinan diri dan pendedahan terhadap aspek usahawan termasuk pengetahuan bahasa kedua terutamanya Bahasa Inggeris, komunikasi berkesan dan aspek pengurusan bagi memastikan mereka mampu bersaing di pasaran pekerjaan secara terbuka,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya badan khas itu nanti diharap, pihak swasta turut bekerja sama mengambil lebih ramai graduan Melayu dan bumiputera bekerja dengan syarikat mereka.

“Saya yakin sekiranya penubuhan badan khas itu nanti dapat dilaksanakan, masalah jurang perbezaan gaji itu dapat di atasi sekali gus menjayakan hasrat kerajaan menjadikan negara berpendapatan tinggi tercapai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");