Perak Hari Ini

Rumah terbuka Hari Raya erat perpaduan antara kaum

Meskipun 1 Syawal hampir dua minggu berlalu, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih hangat dirasai dengan penganjuran majlis rumah terbuka yang berjaya menghimpunkan pemimpin dan rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama, sekaligus mengeratkan lagi ikatan perpaduan yang terjalin selama ini.

Hari ini, tiba giliran UMNO Bahagian Bagan Serai untuk menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya 2011 di perkarangan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al Falah, dekat Simpang Empat, Semanggol yang diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Hadir sama, Adun Kamunting, Datuk Mohd Zahir Khalid dan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Ratusan tetamu dari segenap lapisan umur tidak melepaskan peluang untuk beramah-mesra sambil menikmati pelbagai juadah menyelerakan yang disediakan pihak penganjur.

Terdahulu, dalam ucapan ringkasnya, Dr Zambry berkata, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati negara perlu terus dipertahankan oleh rakyat dengan mengekalkan perpaduan antara kaum.

Tahun ini, rakyat Malaysia juga katanya, dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan dalam bulan yang sama.

Sementara itu, Pegawai Khas merangkap penyelaras Parlimen Bagan Serai, Datuk Zaili Cha berkata, majlis rumah terbuka diadakan di tiga zon iaitu Alor Pongsu, Selinsing dan Semanggol.

“Melalui majlis rumah terbuka Hari Raya ini, kita dapat merapatkan hubungan pemimpin tempatan dengan rakyat jelata,” ujarnya lagi.

Beberapa tetamu yang ditemui Peraktoday.com menyambut baik usaha UMNO Bagan Serai menganjurkan majlis itu yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Raj Kumar, 50, berkata penganjuran rumah terbuka Hari Raya dapat menghimpunkan tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India untuk bersama-sama meraikan perayaan itu.

Katanya, melalui pendekatan turun padang itu juga, sokongan rakyat terhadap pemimpin akan bertambah dan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula kerusi Parlimen Bagan Serai dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing dan Semanggol yang kini dikuasai pembangkang.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) bahagian itu, berkata jentera parti komponen BN termasuklah UMNO, MCA dan MIC perlu bekerja keras bagi mencapai matlamat itu.

“Saya yakin kehadiran pemimpin negeri yang kerap turun padang cukup disenangi rakyat di sini dan kita boleh merampas kembali kerusi parlimen dua kerusi DUN jika calon yang dipilih benar-benar disukai ramai dan berkelayakan,” katanya lagi.

Pendapat sama turut disuarakan Ayob Tan, yang begitu gembira kerana dapat menemui sendiri Dr Zambry dan turut mengakui pendekatan turun padang yang digunapakai pemimpin BN negeri semakin diterima rakyat.

“Sokongan rakyat terhadap pucuk kepimpinan negeri akan bertambah jika pemimpin sentiasa prihatin dengan nasib mereka,” katanya yang bermastautin di Matang Gerdu, dekat Bagan Serai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");