Isu Panas

AMANAH kekal sebagai NGO…Ku Li nafi nak keluar UMNO

Walaupun menjadi Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) Tengku Razaleigh Hamzah berkata ini tidak bermakna beliau sudah tidak yakin dengan parti UMNO malah jauh sekali untuk bertindak keluar parti itu sebagaimana digembar-gemburkan oleh berbagai pihak menjelang sidang medianya pagi Selasa.
Beliau menafikan khabar angin itu dengan berkata, “kalau saya nak keluar UMNO sudah lama saya beritahu..”
Tengku Razaleigh berkata demikian di sidang media selepas kelulusan AMANAH oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dua minggu lalu di rumahnya di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menjawab soalan Agendadaily kenapa memilih NGO sedangkan sudah ada parti dan apakah sudah tidak ada keyakinan pada parti, Tengku Razaleigh berkata, “ada keyakinan dan sebab itu saya dan yang lain masih berada dalam parti masing-masing.”
“Tetapi saya telah memilih bersama dengan pemimpin lain dalam NGO ini kerana saya rasa kita ada ruang untuk kita bersuara dan mengemukakan pendapat bagi pihak rakyat…dengan cara kitalah, kalau kita tidak ada ruang dalam parti kita sendiri inilah ruangnya,” jelas beliau.
Disoal samada tidak ada ruang (bersuara) langsung, Tengku Razaleigh yang lebih sinonim dengan panggilan Ku Li berkata, “bagi saya tidak…”
Mengenai kenyataannya itu boleh memberi implikasi lain pada kedudukan dalam parti, Ku Li menjawab, “apa dia…saya tidak nampak…kita bebas apabila kita menjadi ahli parti, dulu pun kita bebas menyuarakan pandangan apa saja.”
Menurutnya, UMNO sejak ditubuh tidak terkongkong oleh satu idea, sememangnya ianya satu campuran daripada golongan marhain, golongan pekerja, golongan elitis dan campuran idea-idea ini menjadikan UMNO sebuah badan yang dapat jaga kepentingan rakyat seluruhnya tidak kepada satu jurang yang sempit, yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai satu badan yang hanya mementingkan satu golongan saja.
“Jadi sekarang ini orang macam Tan Sri Kadir (Sheikh Fadzil), saya sendiri sudah tidak ada tempat lagi hendak bersuara di sana (perhimpunan agung UMNO). Kalau dalam perhimpunan agung pun, saya diberitahu nak bercakap mesti dilulus dulu oleh pihak atasan baru boleh bercakap dalam Dewan Merdeka. Tidak seperti dulu, sebagai contoh arwah Azman Atar boleh bercakap apa saja…tidak ada kebebasan dan suara dari bawah tidak didengari,” tambah Ku Li.
Sementara itu Timbalan Presiden AMANAH Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil berkata, “dulu, sampai zaman arwah Tun Hussien Onn, saya ingat siapa juga boleh bercakap dan apa dia nak bercakap boleh bercakap, mereka boleh mengkritik cara bebas tidak ada masalah, ini hak rakyat tapi sekarang siapa nak bercakap di perhimpunan agung kena dipilih dan diluluskan oleh pucuk pimpinan apa nak bercakap, perkara nak bercakap pun kena diluluskan dulu…kita susah payah ada perhimpunan agung hanya untuk cerita perkara yang sedap didengar saja oleh pimpinan.”
Bekas Presiden MCA yang juga Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, “keadaan saya agak berbeza dengan perpektif UMNO, baik berjawatan atau tidak ada bezanya sebab sejak dulu lagi walaupun sebagai ahli MCA tidak bermakna saya tidak berhak untuk menyertai mana-mana NGO lain, itu hak saya, dalam masyarakat madani hak ini sepatutnya dihormati.”
“Ruang untuk bersuara dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan serta politik, saya tidak nampak sebarang percanggahan, walaupun kita berada dalam sebuah parti, saya turut menyertai NGO dan tidak bermakna kita sudah sertai parti maka itulah satu-satunya wadah yang tunggal, saya tidak fikir begitu dan wadah itu tidak semestinya satu saja,” jelasnya.
Mengenai AMANAH, Ku Li menjelaskan bahawa ianya telah lama dirancang penubuhannya dan ianya tidak ada kena mengena dengan pilihan raya.
Ku Li juga menolak dakwaan kononnya AMANAH diwujudkan kerana untuk menjadi badan pendesak kepada kerajaan atau untuk berdepan pilihan raya semata-mata.
“Ianya satu kebetulan sahaja kerana telah dirancang lebih awal dan kelulusannnya pun mengambil masa berbulan-bulan dan diharapkan ianya akan berterusan memainkan peranannya sebagai satu badan NGO, selagi mendapat sokongan ramai ahli-ahlinya,” kata Ku Li.
Ditanya bagaimana AMANAH akan berperanan bagi menghadapi pilihan raya, Ku Li berkata, “kita bukan sebuah parti politik, hanya sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kita akan menyuarakan pandangan kita perkara-perkara berbangkit dan menyentuh kepentingan orangramai seperti soal reform pilihanraya supaya lebih bebas, adil, rasuah, birokrasi dan banyak perkara lain.”
AMANAH bagaimanapun mahu pilihan raya umum ke 13 hanya diadakan selepas pembaharuan pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi penubuhan jawatankuasa terpilih parlimen dilaksanakan.
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");