Berita Hari Ini

Kerja Berpasukan Pastikan Kemenangan Besar BN, Kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semangat bekerja secara berpasukan dan bekerjasama akan memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

Perdana Menteri berkata bergerak secara bersendirian tidak akan membantu seseorang ahli parti memenangi pilihan raya berkenaan secara keseluruhannya.

“Seperti sukan, kita perlu mesti (kerja) berpasukan bagi memastikan kemenangan untuk diri dan pasukan. Dalam politik kita tidak boleh menang sekiranya kita bersendirian, mesti bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada majlis penutup Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Malaysia (PTIWRBNM) 2012 di sini, Sabtu malam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa Menteri Kabinet yang hadir memberi sokongan kepada isteri masing-masing dalam program melibatkan acara badminton dan boling.

Najib berkata semangat bekerja secara berpasukan dan kerjasama sesama ahli parti itu menunjukkan ahli-ahlinya merupakan satu keluarga yang rapat.

“Dalam politik, semangat kekeluargaan juga penting sesama kita bagi menentukan kemenangan kita nanti, tak terpilih sebagai calon pun tidak apa asalkan BN menang,” katanya.

Beliau turut meminta isteri-isteri wakil rakyat supaya sentiasa memberi sokongan kuat kepada suami masing-masing selain prihatin kepada masalah yang timbul di kawasan mereka.

Menurutnya para isteri perlu sentiasa menunjukkan wajah yang manis ketika berdepan dengan rakyat bagi mengelakkan dilabel sombong.

“Isteri jangan tunjuk muka masam depan rakyat kerana ia akan memberikan kesan pada kerja suami selaku wakil rakyat, isteri kena jaga para pengundi dan jangan melebihi suami sebab orang tak suka,” katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata penganjuran program itu berjaya membina persefahaman dan kesepakatan di antara ahli-ahli kontinjen, sekaligus mengeratkan silaturrahim di kalangan mereka.

“Program tahunan ini juga mencerminkan penyatuan serta perpaduan di kalangan parti-parti komponen BN yang terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan dan agama,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");