Jenayah

Sembunyi dalam tandas

IPOH – Beberapa anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak terpaksa memujuk sekumpulan wanita warga Thailand dan Vietnam keluar dari sebuah tandas berkunci, dalam satu serbuan, di sini, kelmarin.

Wanita asing yang menawarkan khidmat urutan batin itu bertindak menyorok dan menguncikan diri di dalam tandas berkenaan sejurus menyedari premis mereka diserbu, kira-kira jam 9 malam.

Semua wanita warga asingitu bagaimanapun berjaya dipujuk menyerah diri selepas pusat urut refleksologi yang terletak di Jalan Raja Ekram, di sini, dikepung.

Mereka yang didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dikesan mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM50 untuk tujuan seks.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Perak, Ahamad Puat Abd Hamid berkata, pemeriksaan dilakukan di empat premis refleksologi kaki bermula kira-kira jam 8 malam selepas maklumat mendapati kebanyakan premis itu menggunakan khidmat gadis dan wanita warga asing.

“Seramai 22 wanita dan dua lelaki warga asing ditangkap kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 52 tahun terdiri daripada 13 warga Thailand, Vietnam (5), China (4), Laos dan Yemen masing-masing seorang,” katanya.

Dua lelaki dan seorang wanita tempatan turut ditahan selepas melakukan kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah.

Katanya, pemeriksaan sama turut dilakukan di tiga premis kediaman yang dipercayai menjadi lokasi pendatang haram tinggal.

Hasil pemeriksaan, seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Seorang lelaki tempatan dipercayai kekasihnya turut diberkas kerana memberi perlindungan,” katanya.

Operasi yang dilakukan kali ini membabitkan 17 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak dengan mensasarkan beberapa lokasi di sekitar Ipoh.

Sebelum itu, serbuan turut berjaya menahan 34 lelaki warga asing berkeliaran.

Hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki berusia antara 19 ke 39 tahun yang terdiri daripada Indonesia (1), Myanmar (3), Bangladesh (1), India (1) dan Nepal (1) tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");