Perak Hari Ini

Dua Anggota VAT 69 Selamat Tiba, Bakal Jalani Rawatan Susulan Di HRPB

Dua anggota komando VAT 69 yang tercedera dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat lepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menjalani rawatan susulan sejurus tiba di lapangan terbang Pusat Latihan Polis Udara Ipoh, kira-kira jam 5.35 petang tadi.

Ketibaan Koperal Mohd Tarmizi Hashim dan Koperal Azman Ampong yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu diterbangkan dengan sebuah pesawat Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Pangkalan Unit Udara Polis Sungai Besi sebelum disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan.

Mohd Tarmizi yang berasal dari Kelantan mengalami kecederaan di tangan dan kaki manakala Azman yang berasal dari Sabah cedera di punggung dan peha dalam kejadian berkenaan.

Bercakap kepada pemberita, Dr Zambry berkata, semangat kepahlawanan yang ditunjukkan dua anggota komando VAT 69 itu cukup tinggi walaupun mereka mengalami kecederaan dalam pertempuran terbabit.

Kerajaan negeri katanya, akan sedang membuat penilaian bagi membantu semua anggota yang terkorban dan tercedera dalam kejadian itu termasuklah membuat kutipan derma khas bagi membantu mangsa dan ahli keluarga mereka.

“Kutipan derma khas daripada orang ramai sudah bermula dan di pihak kerajaan negeri pula, kita akan lihat semua anggota yang terbabit dalam operasi ini khususnnya di Perak.

“Kita turut membuat penilaian dan kita akan umum sesuatu kepada anggota yang cedera dan yang gugur dalam pertempuran tempoh hari,” katanya lagi.

Tegas beliau lagi, apa yang lebih penting kini ialah masa depan anak dan dan ahli keluarga anggota yang tercedera dan terkorban terbela dan mendapat perhatian sewajarnya.

“Kita sepatutnya berbangga dengan pengorbanan anggota keselamatan dan saya berharap rakyat dapat menunjukkan semangat patriostisme kepada negara tanpa mengira latar belakang politik.

“Negara kita diserang penceroboh yang tidak bertanggungjawab dan kita semua seharusnya memberi taat setia dan keyakinan kepada perjuangan pasukan polis dan tentera.

“Jangan keluar kenyataan yang menyindir itu dan ini kononnnya mereka ke sana untuk makan angin dan saya berharap perkara ini tidak dijadikan bahan untuk meraih kepentingan politik,” katanya lagi.

Semua pihak katanya, perlu mengetepikan kepentingan politik sebaliknya mempertahankan kedaulatan negara dan menyatakan rasa simpati terhadap kehilangan anggota keselamatan yang gugur di medan perang.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, kebajikan semua anggota dan ahli keluarga mereka yang tercedera dan terkorban akan dijaga dengan sebaik mungkin oleh PDRM.

“Walaupun tercedera, dua anggota ini masih bersemangat tinggi dan saya yakin semua komando ini cukup cekal dan bersiap sedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");