Jenayah

Perokok tak faham bahasa!

Sepang: Tidak tahu dan tekanan selepas menaiki kapal terbang menjadi antara alasan perokok yang ditahan dalam Ops Terbang 1 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selama dua hari berakhir semalam.

Operasi besar-besaran yang pertama kali diadakan tahun ini dijalankan selepas menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai kegiatan itu, walaupun Jabatan Kesihatan Selangor dan Pejabat Kesihatan KLIA sudah melakukan aktiviti penguatkuasaan tiga kali dalam sebulan.
Ia membabitkan 187 anggota yang terdiri daripada 98 pegawai penguat kuasa, dengan dibantu 88 anggota sokongan lain turut mendapat kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata, sepanjang dua hari operasi itu dijalankan, pihaknya mengeluarkan 595 notis kesalahan membabitkan 383 atau 64.4 peratus kepada warganegara dan 212 atau 35.6 peratus lagi dikeluarkan kepada bukan warganegara.
“Rata-rata mereka yang ditahan memberikan alasan tidak tahu lapangan terbang adalah kawasan larangan merokok, sedangkan papan tanda sudah diletakkan secara jelas dan besar di beberapa lokasi sekitar KLIA dan LCCT.
“Operasi ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa lapangan terbang sudah diwartakan sebagai tempat larangan merokok sejak 2004, sekali gus membolehkan kami menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di LCCT, di sini, semalam.

Dr Azman berkata, langkah itu juga diambil bagi melindungi orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas daripada kesan rokok basi yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka yang tidak merokok.
Menurutnya, individu yang diberikan notis kesalahan perlu membayar kompaun sebanyak RM250, manakala bagi orang belum dewasa iaitu yang berumur 18 tahun ke bawah yang merokok atau memiliki apa-apa hasil tembakau dikenakan kompaun sebanyak RM50.

Sementara dalam operasi itu, beliau berkata, sebanyak 277 kompaun dengan nilai RM31,845 sudah dibayar dikaunter yang disediakan, manakala mereka yang belum berbuat demikian diberi tempoh sebulan untuk menjelaskannya bagi mengelakkan mereka didakwa di mahkamah.
“Saya juga ingin mengingatkan mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang diberikan iaitu sebulan daripada tarikh notis akan didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

-Harian Metro-

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");