Jenayah

Polis tahan suspek samun pengurus acara

Pasport antarabangsa yang dirampas bersama tangkapan empat suspek di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, kelmarin.

SERDANG: Empat lelaki ditahan kerana disyaki menyamun seorang pengurus acara wanita dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Seremban, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiga suspek terbabit serta beberapa lagi rakan mereka yang menaiki enam buah motosikal dikatakan menghimpit kereta Perodua Myvi dipandu wanita berkenaan.

Wanita berusia 40 tahun itu terkejut, memberhentikan keretanya, sebelum pintu kenderaannya dibuka oleh kumpulan penjenayah terbabit.

Barangan berharga milik mangsa antaranya beg tangan, telefon bimbit serta kad ATM dilarikan kumpulan penjenayah terbabit.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa melaporkan, selepas kejadian sebuah kereta Perodua Myvi warna perak dinaiki seorang suspek menghampirinya.

Katanya, mangsa sempat mencatat nombor pendaftaran kereta itu dan polis mengesan kereta tersebut lapan jam kemudian.

Menurutnya, polis mengekori kenderaan itu sehingga ke kawasan Lestari Perdana, Seri Kembangan, sebelum menahan seorang suspek lelaki berusia 25 tahun.

“Kita kemudian menyerbu rumah suspek di sebuah pangsapuri di situ dan menemui semula pelbagai barangan milik mangsa yang disamun.

“Kita juga menahan tiga rakan suspek di rumah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, semalam.

Thaiveegan berkata, turut dirampas 19 keping pasport antarabangsa dari pelbagai negara, 23 cop syarikat, termasuk cop bertulis Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya Malaysia, gambar-gambar pasport, set komputer, mesin cetak serta tali pinggang tertera logo Jabatan Imigresen.

Katanya, polis percaya semua suspek terlibat dalam pemalsuan dokumen.

“Mereka direman bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan rakan-rakan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");