Perak Hari Ini

Setiap Perkampungan Orang Asli Disaran Tubuh Koperasi

Setiap perkampungan Orang Asli di Perak disaran menubuhkan koperasi yang dilihat berupaya melonjakkan taraf sosio-ekonomi ahlinya khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Koperasi negeri, Mohd Nizar Zakaria, berkata terdapat 18 koperasi yang ditubuhkan masyarakat Orang Asli di Perak, setakat ini.

“Saya berharap setiap perkampungan Orang Asli di negeri ini dapat menubuhkan koperasi dengan mengetengahkan potensi yang ada di persekitaran mereka.

“Kerajaan negeri ingin melihat lebih banyak koperasi ditubuhkan di masa akan datang dan bagi mencapai matlamat ini, kerjasama pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di peringkat negeri dan daerah perlu dieratkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SKM cawangan Perak di Ipoh, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SKM Perak, Saiful Bahri Omar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nizar berkata, kerajaan negeri juga mahu program atau aktiviti 59 Koperasi Bela Rakyat (Kobera) yang ditubuhkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terus diaktifkan dari semasa ke semasa.

Jelasnya, Kobera juga perlu bijak merebut peluang untuk membangunkan produk yang berpotensi bagi menjana pendapatan ahli-ahlinya.

“Rebut peluang yang ada di persekitaran kita dan sebagai agen pelaksana, pegawai SKM baik di peringkat negeri atau daerah hendaklah sentiasa berkomunikasi untuk membantu kira-kira 1,034 buah koperasi yang beroperasi di Perak,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Nizar menegaskan sektor koperasi antara penyumbang utama kepada lonjakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekaligus meningkatkan hasil ekonomi negara.

Katanya, dengan kekuatan kira-kira 300,000 ahli di negeri Perak sahaja, pertubuhan koperasi boleh bergerak maju di hadapan jika pandai merebut peluang yang ada di persekitaran masing-masing.

“Selain pasaran tempatan, koperasi juga boleh mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa serta memperkenalkan produk sampingan atau hiliran untuk menjana pendapatan,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");