Berita Hari Ini

60 peratus jemaah haji berada di Tanah Suci

JEMAAH HAJI

Hampir 60 peratus atau lebih 12,000 jemaah haji Malaysia kini sudah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji bulan depan.

Pihak berkuasa Arab Saudi menetapkan kuota 22,320 jemaah haji dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jumlah jemaah haji Malaysia sekarang semakin ramai di Makkah setelah penerbangan terus membawa jemaah haji ke Makkah bermula semalam.

Beliau berkata, jemaah haji Malaysia di Makkah kini berjumlah hampir 7,000 orang manakala yang masih berada di Madinah telah berkurangan dan sedang memasuki Makkah secara berperingkat sehingga 28 September.

“Pada hari ini tiga lagi penerbangan yang membawa 910 jemaah haji terus ke Makkah dan TH menyambut kira-kira 1,000 jemaah di Makkah termasuk yang tiba dari Madinah pada setiap hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Syed Saleh berkata, setakat ini lima daripada lapan maktab TH di Makkah telah beroperasi sepenuhnya dan TH juga telah mengatur program-program untuk jemaah.

Katanya, antara program itu ialah ulangkaji tatacara ibadat haji dan juga lawatan ke tempat-tempat bersejarah.

“Mulai sekarang, jemaah haji dari Malaysia telah memakai ihram kerana mereka memasuki terus ke Makkah dan perlu mengerjakan umrah.

“Disebabkan itu kita juga menempatkan dua pegawai bimbingan ibadah di setiap stesen pelepasan bagi membimbing dan menasihati jemaah haji mengenai pantang
larang,” katanya.

Penerbangan akhir musim haji tahun ini ialah pada 9 Oktober dan hari wukuf di Arafah ialah 14 Oktober.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");