Jenayah

Permintaan tidak dilayan, ugut pukul bapa

jenayah

KUALA BERANG – Gara-gara permintaannya mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dipenuhi, seorang anak tergamak mengugut mahu memukul ayah kandungnya sendiri di Kampung Telaga, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berumur 60 tahun sedang berehat di rumah selepas selesai menunaikan solat Subuh sebelum didatangi suspek yang juga anak ketiganya, berusia 29 tahun.

Menurut sumber, terdahulu pemuda itu meminta sejumlah wang daripada bapanya, tetapi tidak diendahkan kerana mempercayai duit tersebut ingin digunakan untuk membeli dadah, tambahan pula anaknya memang seorang penagih.

“Bengang setelah permintaannya tidak ditunaikan, anaknya itu secara tiba-tiba naik angin lalu berlakunya pertengkaran antara keduanya.

“Pemuda itu gagal mengawal perasaan hingga bertindak kurang ajar apabila cuba memukul bapanya dengan sebatang kayu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata sumber, pemuda tersebut turut menghalau bapa dan ahli keluarganya keluar dari rumah sebelum menghilangkan diri selepas itu.

Bimbang keselamatan sekeluarga, bapanya nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang.

“Difahamkan, kejadian seumpama itu bukan pertama kali dihadapi keluarga berkenaan kerana sejak anak mereka terjebak dengan dadah, kejadian ugut mengugut sering berlaku sekiranya wang yang diminta tidak diberikan.

“Malah, sebelum ini pemuda itu sering mengamuk serta pernah ugut bapanya menggunakan sebilah parang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan menerima laporan.

Menurutnya, polis telah pun menangkap suspek beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis morfin itu tidak bekerja dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");