Perak Hari Ini

UMNO Bahagian Gopeng Perlu Bersatu, Bersedia Lebih Awal Hadapi PRU-14: Hamizura

mt

Keputusan menawarkan diri sebagai calon Ketua UMNO Bahagian Gopeng pada awalnya dirasakan amat berat bagi Hamizura Osman yang juga merupakan calon wanita tunggal di Perak bagi pemilihan peringkat bahagian, Sabtu ini.

Namun begitu, apabila mengenang kembali kekalahan yang dialami Barisan Nasional (BN) di Parlimen Gopeng pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, semangat kental dan juang meresap dalam dirinya untuk menebus peristiwa pahit itu pada pilihan raya umum akan datang.

Hamizura merasakan bahawa beliau perlu berbuat sesuatu untuk membantu UMNO Gopeng mengembalikan sekurang-kurangnya satu kerusi kepada BN pada PRU-14.

Katanya, ini kerana setiap kerusi yang dimenangi UMNO sangat penting untuk menyumbang kepada kuasa Melayu dalam senario politik negara.

“Sekiranya terpilih, saya berhasrat untuk mewujudkan jentera pilihan raya sebaik dan seawal yang mungkin selain meneruskan perjuangan UMNO selama ini,” katanya kepada Peraktoday.com, hari ini.

Beliau juga menyeru para perwakilan agar menggunakan keimanan dan kebijaksanaan akal dalam memilih Ketua UMNO Bahagian Gopeng yang dirasakan benar-benar layak dan boleh digelar sebagai pejuang Melayu.

Kata Hamizura lagi, perpaduan dalam parti begitu penting dan boleh diibaratkan akar yang mampu menjadi benteng kukuh bagi merebut kerusi semula kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU-14 nanti.

Hamizura yang muncul sebagai wanita pertama mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Gopeng bakal berhadapan saingan tiga penjuru iaitu penyandangnya, Datuk Hamzah Kassim serta dua lagi calon iaitu Mejar (B) Roslan Zakaria dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Saidin Kadri Abd Malek.

Ujarnya lagi, transformasi politik yang diperkenalkan pimpinan akar umbi adalah sesuatu yang baik tetapi setiap perwakilan juga perlu bijak mengadaptasikannya supaya tidak menjadi sia-sia.

“Jika kemenangan berpihak kepada saya, semoga ianya diberkati oleh Allah SWT dan jika saya kalah sekali pun, biarlah kekalahan itu kekalahan yang bermaruah,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");