Berita Hari Ini

Lawatan Najib ke Bangladesh capai objektif

pmm

DHAKA – Lawatan tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Bangladesh dilihat berjaya mencapai objektif untuk mengeratkan hubungan politik dan ekonomi kedua-dua negara.

Kedatangan beliau bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang disambut meriah Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, disusuli dengan pertemuan-pertemuan bagi membincangkan isu-isu seperti tenaga kerja Bangladesh, perbezaan dari segi jumlah perdagangan antara kedua-dua negara selain peluang-peluang pelaburan bagi syarikat Malaysia.

Hasilnya, kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan kerjasama dan membuka peluang-peluang baharu untuk diterokai syarikat-syarikat Malaysia dan seterusnya merapatkan jurang perbezaan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bangladesh berdasarkan kepada rasa kebersamaan yang dirasai rakyat kedua-dua negara dan ini perlu kita terjemahkan dalam bentuk kerja sama yang semakin meningkat antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata antara bidang-bidang yang berpotensi untuk pelaburan dari Malaysia yang disebut ketika Mesyuarat Dua Hala dengan kerajaan Bangladesh adalah infrstruktur, penjanaan elektrik, hotel, hospitaliti, telekomunikasi, pendidikan dan industri gas.

Semasa mesyuarat tersebut, beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia turut dipelawa untuk menyertai tender antarabangsa bagi membina jambatan pelbagai guna Padma selain potensi untuk syarikat Malaysia terlibat dalam pembinaan 22,000 unit perumahan awam di negara terbabit.

Ketika ini, syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Corp sudahpun melebarkan sayapnya ke negara Asia Selatan itu dan membekalkan kira-kira 80 peratus tenaga elektrik di Dhaka manakala anak syarikat Axiata Group Bhd, Robi Axiata Ltd, ialah syarikat telekomunikasi ketiga terbesar di Bangladesh.

Pertemuan Perdana Menteri dengan Hasina turut merungkai permasalahan yang menyebabkan kaedah pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia bagi sektor perladangan di bawah perjanjian persefahaman kerajaan-kepada-kerajaan (G2G) yang ditandatangani hujung tahun lepas kurang memberangsangkan.

Beberapa punca seperti masalah visa dan penerbangan antara Bangladesh dan Malaysia dikenal pasti dan kedua-duanya mengulangi komitmen mereka untuk meningkatkan lagi keberkesanan kaedah berkenaan bagi menghalang syarikat swasta daripada mengeksploitasi dan mengaut keuntungan yang besar melalui proses kemasukan tenaga kerja dari Bangladesh ke Malaysia.

Sementara itu, bagi pemimpin Bangladesh, Hasina, lawatan Perdana Menteri ini mengandungi elemen sentimental kerana Malaysia adalah antara negara terawal dan negara Islam pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 1971 yang dipelopori oleh bapanya Sheikh Mujibur Rahman.

Dalam ucapan beliau ketika merasmikan Hospital Pakar dan Kolej Kejururawatan KPJ Peringatan Sheikh Fazilatun Nesa Mujib, beliau menyifatkan dirinya dan Najib sebagai Perdana Menteri generasi kedua di negara masing-masing.

“Ketika bapa beliau (Najib), Tun Abdul Razak Hussein, menjadi Perdana Menteri Malaysia, bapa saya adalah Perdana Menteri Bangladesh,” katanya.

Hospital berkenaan yang dibina oleh tabung amanah milik keluarganya turut mengabadikan nama ibu beliau pada nama hospital berkenaan sebagai penghormatan kepada sumbangan besar wanita berkenaan kepada kemerdekaan Bangladesh.

Syarikat penjagaan kesihatan Malaysia, KPJ Healthcare Bhd, telah diberi penghormatan untuk mengendalikan hospital berkenaan dan dianggap Perdana Menteri sebagai satu kejayaan yang membanggakan kerana pemilihan syarikat berkenaan telah mengetepikan syarikat-syarikat dari negara maju.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");