Berita Hari Ini

150 balai bomba baharu dalam 10 tahun

dtk wan kp bomba

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membina 150 balai bomba baharu di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun, kata Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata pembinaan balai bomba adalah satu keperluan bagi mengimbangi pembangunan pesat negara dan jumlah 260 balai di seluruh negara sehingga kini adalah tidak mencukupi.

“Selain itu, JPBM juga akan menambah 15,000 anggota baharu untuk anggota JPBM tetap, anggota bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela, keseluruhannya berjumlah 45,000 anggota dalam pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan Kursus Diploma Lanjutan Sains Kebombaan Gred KB 41 Siri 1/2013, Kursus Diploma Sains Kebombaan Gred KB 29 Siri 1/2013 dan Kursus Sijil Sains Kebombaan Gred KB 17 Siri 2/2013 di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Mengenai penubuhan bomba bantuan mulai tahun ini, katanya perkara itu masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, pasukan bomba bantuan bukanlah khidmat tetap tetapi anggotanya akan dibayar elaun sekiranya diminta bertugas membantu anggota tetap bomba dan penyelamat.

“Pengambilan anggota bomba bantuan dapat menjimatkan perbelanjaan kewangan yang ditanggung kerajaan dalam pengurusan balai bomba dan pelbagai perkara yang berkaitan,” kata Wan Mohd.

Dalam pada itu, JBPM akan menambah baik tempoh bertindak untuk penggilan kecemasan pada tahun ini dalam memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pasukan bomba dan penyelamat akan berada di kawasan kejadian sekurang-kurangnya 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

“Bagaimanapun, ia semua bergantung kepada jarak lokasi kejadian dari balai bomba, kesesakan lalu lintas dan beberapa perkara lain,” katanya.

Beliau berkata bagi kejadian pesawat Cessna 172 terhempas di Empangan Batu, Kuala Lumpur, pada 10 Jan lepas, JBPM telah bertindak tepat dan cekap dengan melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa-mangsa kejadian tersebut setelah menerima panggilan kecemasan dari pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

JBPM telah berjaya dalam operasi mencari dan menyelamat itu dengan menyelamatkan semua mangsa-mangsa pesawat yang terhempas walaupun dilakukan pada waktu malam dengan maklumat yang sangat sedikit mengenai lokasi sebenar pesawat terhempas, katanya.

Sehubungan itu, Wan Mohd berkata JBPM akan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tanpa mengira waktu dan lokasi kerana kesemua anggotanya bersedia menghadapi sebarang situasi setelah menjalani latihan wajib kursus.

Ditanya mengenai perlindungan insurans untuk anggota JBPM, beliau berkata sehingga kini sejumlah 21 anggota JPBM dilindungi insurans bernilai RM18,000 seorang dan perlindungan insurans itu akan diperluaskan untuk anggota JBPM yang lain pada masa depan.

Mengenai kursus tamat latihan, beliau berkata secara keseluruhan seramai 169 orang telah berjaya menamatkan kurus diploma dan sijil yang dikendalikan oleh Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Wan Mohd berkata seramai tiga peserta telah digugurkan atas faktor kesihatan dan tidak mencapai tahap ujian yang ditetapkan JPBM. –

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");