Berita Hari Ini

Taktik guna timbang tamat tempoh

timbang

IPOH: Hasil pemeriksaan pada Ops Harga 2.0 di Parit Buntar, semalam mendapati masih ada peniaga menggunakan alat timbang tamat tempoh sah:-

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Parit Buntar, Abdul Rahman Yang Mohd Yusof berkata, kesalahan itu dikesan dilakukan dua peniaga kedai runcit di sekitar Alor Pongsu membolehkan barang kesalahan mereka bernilai RM300 dirampas.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan empat kes kesalahan di bawah Seksyen 14 (6) Akta Timbang Sukat 1972 direkodkan sejak pemeriksaan dijalankan, Isnin lalu.

“Pada hari pertama operasi di dua pasar awam utama di Kerian mendapati kesemua peniaga meletakkan tanda harga pada barang dijual dengan jelas. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan selanjutnya di premis tetap berhampiran Pasar Awam Bagan Serai mendapati ada peniaga yang menggunakan alat timbang tamat tempoh.

“Kesemua peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu akan terus dihadapkan ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan dan boleh dikenakan denda sehingga RM4,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Abdul Rahman bersama 14 pegawai pengaut kuasa PPDNKK menjalankan pemantauan ke atas lebih 30 premis meliputi Pasar Awam Parit Buntar, Pasar Awam Bagan Serai dan premis-premis tetap di sekitar daerah Kerian.

Kesalahan sama turut dikesan berlaku semasa pemeriksaan PPDNKK Manjung di lebih 60 premis menjual ikan, ayam, sayuran dan pelbagai barangan lain.

Ketuanya, Omar Ismail berkata, semua peniaga yang melakukan kesalahan itu tidak lagi akan dikenakan kompaun, sebaliknya akan didakwa ke mahkamah bagi memastikan mereka tidak mengulangi semula kesalahan di masa hadapan.

Menurutnya, tindakan drastik seumpama itu bagi menjaga kebajikan orang ramai yang kini berdepan dengan kenaikan kos barangan keperluan seharian.

“Kita harap ia dapat memberi pengajaran kepada peniaga supaya mereka sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu, PPDNKK Manjung berjaya mengutip kompaun RM20,400 melibatkan 153 kes dengan nilai barang rampasan RM1.7 juta.

Daripada jumlah kes yang direkodkan, 67 daripadanya di bawah Akta Timbang dan Sukat.

Sedia kaunter aduan

PPDNKK Kuala Kangsar pula mengambil inisiatif menyediakan kaunter aduan di Pasar Awam Kuala Kangsar bagi memudahkan saluran maklumat diberikan.

Ketuanya, Mohd Sallehudin Mohd Nahar berkata, kaunter berkenaan dibuka setiap hari termasuk pada hari cuti am dan mula beroperasi pada jam 7.30 pagi hingga 11.30 pagi.

“Kaunter itu turut menyediakan alat penimbang sah, sekiranya ada pengguna yang curiga dengan berat barangan yang mereka beli, mereka boleh memeriksanya dengan menimbang barangan tersebut di kaunter yang disediakan.

“Jika ada unsur penipuan timbang, mereka boleh terus mengadu kepada kakitangan kami di situ dan mereka tidak lagi perlu ke pejabat untuk membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata, bagi menambah baik perkhidmatan, pihaknya kini sedang dalam proses mewujudkan pengaduan secara atas talian di kaunter terbabit pada masa akan datang.

Katanya, rata-rata operasi yang dijalankan termasuk di pasar basah, kedai runcit, kedai makan dan restoran dilakukan secara mengejut.
“Sekiranya peniaga didapati melakukan kesalahan, kes tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Lalui prosedur pemeriksaan sama

Tinjauan Sinar Harian di Taiping pula mendapati, semua pegawai dan anggota penguat kuasa PPDNKK bergerak secara serentak ke beberapa lokasi pemeriksaan yang ditetapkan.

Tanpa sebarang penyamaran, setiap premis diperiksa melalui prosedur sama seperti sebelum ini bagi mengesan sebarang salah laku yang digunakan peniaga.

Ketua PPDNKK Taiping, Farah Adlina Ropaie berkata, operasi pemeriksaan dilakukan seperti biasa dan semua yang terlibat akan masuk ke kawasan pasar, tanpa ada sebarang penyamaran.

Bagaimanapun katanya, operasi yang disertai 17 pegawai dan anggota itu turut dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

“Bagi daerah Larut Matang dan Selama, tumpuan diberikan kepada pasar basah, pasar borong, kedai runcit dan medan selera, namun dalam operasi hari ini (semalam), tumpuan banyak diberikan kepada kawasan medan selera dan pasar basah khususnya di Plaza MPT,” katanya.

Farah berkata, dalam operasi pemeriksaan semalam, sebanyak 23 premis telah diperiksa anggota terlibat.

Katanya, rata-rata peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dengan mempamerkan tanda harga dengan betul.

“Setakat ini, 20 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, 13 daripadanya adalah kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah PPDNKK negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor memaklumkan, hampir 400 premis perniagaan termasuk pasar terlibat dalam pemeriksaan yang dijalankan setiap hari oleh anggotanya.

Menurutnya, pemeriksaan harian yang dilakukan anggota itu termasuk di kedai runcit dan medan selera adalah satu inisiatif kementerian bagi memastikan isu kenaikan harga barang berada pada tahap normal.

Setakat Selasa lalu, PPDNKK Perak mencatatkan jumlah 21 kes dengan nilai rampasan RM1,689.60, hasil pemeriksaan dijalankan ke atas 960 premis, bagaimanapun sehingga kini, tiada tangkapan direkodkan.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");