Isu Panas
Like

Hidup mati Anwar di Kajang

February 18, 2014
67 Views
0 Comments
3 minutes read
no-cover

khalid ibrahim, anwar ibrahim di majlis pkr

SHAH ALAM – PKR begitu yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang mudah PRK Dun Kajang namun bagi penganalisis politik, kekalahan pemimpin nombor satu pembangkang itu bukan mustahil.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, pada awalnya Anwar yakin Kajang kawasan mudah untuk beliau meraih majoriti besar.

Namun kini situasi sudah tidak sama lagi, apabila strategi yang diguna pakai dalam kempennya mulai berubah-ubah apabila rakyat Kajang dilihat mulai sedar akan matlamat sebenar Anwar.

“Bukan sahaja BN berusaha untuk menewaskan Anwar, tetapi bekas rakan-rakannya juga tampil menawarkan diri untuk mencabar beliau dalam PRK kali ini.

“Malah, ada juga pemimpin dalam PR sendiri kurang senang dengan percaturan yang dibuat beliau di Kajang. Kerana justifikasinya bukan untuk kepentingan PR tapi lebih kepada PKR dan agenda peribadi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Azmi, kemungkinan untuk Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu tewas lebih besar apabila beliau mendapat calon lawan yang mempunyai personaliti berlawanan dengannya.

“Pengumuman (Datuk) Zaid Ibrahim bertanding sebagai calon bebas sedikit sebanyak memberi saingan sengit pada Anwar. Zaid mempunyai personaliti dan prinsip berlawanan dengan Anwar,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga akan terfikir apakah punca orang yang dianggap rapat dengan PR tampil untuk menentang calon mereka.

“Permainan politik yang digunakan Anwar ini ditolak oleh ramai pihak. Maka beliau perlu lebih berhati-hati dalam siri kempennya,” kata Azmi.

Menurutnya lagi, karier politik Anwar boleh terkubur jika ketua pembangkang itu kalah dalam PRK kali ini.

“PRK ini umpama hidup mati Anwar. Kalaulah di kawasan PR kuat juga beliau boleh tewas, sudah pasti akan beri kesan besar.

“Implikasinya bukan sahaja pada PKR malah pada beliau sendiri, harapan untuk menjadi menteri besar akan lenyap malah kredibiliti untuk beliau diangkat sebagai perdana menteri juga akan hilang,” katanya.

Semalam, Zaid mengesahkan dirinya akan bertanding sebagai calon Bebas di Dun Kajang.

Sebelum itu, bekas rakan karib Anwar, Datuk S Nallakaruppan turut menawarkan diri untuk mencabar ketua pembangkang itu.

Sementara itu, kemelut isu Selangor belum berakhir apabila beberapa pemimpin PKR didakwa berusaha untuk menggugurkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar Selangor dengan menggantikan Anwar.

Bagaimanapun, Pas beberapa kali menegaskan pihaknya tidak akan menyokong pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor, dan hanya menyokong Anwar sebagai calon PR di Dun Kajang.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply