Sukan Hari Ini

Waspada ancaman Maziya

arena

Kuala Lumpur: Selangor bakal menerima padah jika memperlekehkan kemampuan Maziya Sports & Recreation pada aksi perlawanan kedua kempen Kumpulan F Piala AFC di National Stadium, Male esok biarpun pasukan lawan dari Maldives itu dibelasah teruk sebelum ini.

Peringatan itu disuarakan oleh kapten Red Giants Mohd Bunyamin Omar supaya lebih berwaspada memandangkan rekod mereka menentang kelab dari negara itu tidak begitu memberangsangkan apabila kalah kepada New Radiant 2-0 di pusingan kalah mati tahun lalu.

“Memang kami mengharapkan kemenangan apabila beraksi di sana (Maldives) tapi kami menjangkakan ia perlawanan yang sukar. Berdasarkan pengalaman kami dalam kejohanan ini, kami tidak boleh memandang mudah cabaran pasukan dari Maldives.

“Kami perlu berhati-hati kerana walaupun pasukan mereka nampak tidak begitu kuat tapi mereka boleh beraksi dengan baik apabila bermain di gelanggang sendiri,” katanya.

Nasib Selangor lebih baik pada permulaan kempen Piala AFC apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Arema Indonesia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 25 Februari lalu manakala Maziya tumpas 1-5 dengan kelab Vietnam, Hanoi T&T.

Bunyamin yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia minggu lalu yakin jurulatih Mehmet Durakovic mempunyai perancangan terbaik untuk menambah duka Maziya sekali gus membolehkan mereka kembali ke landasan kemenangan.

“Moral pasukan dalam keadaan terbaik ketika ini dan kami memang fokus kepada saingan Piala AFC musim ini. Kami berharap dapat beraksi mengikut taktikal yang diarahkan jurulatih untuk meraih keputusan baik di sana,” kata pemain pertahanan itu.

Mehmet membawa 18 pemain ke Maldives semalam dan tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaiknya termasuk penyerang yang berada di kemuncak prestasi Paulo Rangel yang kini sudah meledak enam gol dalam saingan liga.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");