Membawang Hari Ini

Buku panduan hos Azura Zainal

AZURA ZAINALAZURA ternyata bangga dengan kemunculan buku pertama karya tulisannya ini:-

WALAUPUN telah mempelopori bidang pengacaraan sejak 15 tahun lalu, perasaan gemuruh ketika berada di konti radio dan semasa mengacarakan program televisyen masih dirasakan sehingga kini.

Perasaan tersebut diluahkan oleh pengacara TV dan radio, Azura Zainal, 31, ketika ditanya mengenai perasaannya ketika menjalankan tugasnya sebagai pengacara.

Mula melebarkan sayapnya daripada pengacara program TV kepada deejay radio, ujar Azura, dia kini lebih selesa dengan persekitaran pekerjaan tersebut.

“Sejak dahulu kehidupan saya berkisar mengenai bidang pengacaraan, jadi saya rasa ia merupakan sebahagian darah daging saya.

“Walaupun telah berkecimpung dalam bidang ini sejak 15 tahun lalu tapi saya tidak pernah merasakan ia sebagai beban. Malah, setiap hari ketika hendak pergi ke tempat kerja, semangat sangat berkobar-kobar untuk bekerja,” ujarnya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di sebalik kesibukannya bekerja, Azura bagaimanapun tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Berkahwin dengan jejaka kelahiran Brazil, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva, Azura mengakui, setelah memasuki alam kehidupan rumah tangga, dia memerlukan komitmen yang tinggi.

Sejak perkenalannya dengan Ibrahim sejak lima tahun lalu, kata Azura, suaminya itu sememangnya seorang yang memahami dan penyayang.

“Saya bahagia di sampingnya. Setakat perkenalan kami sejak 2009, dia tidak pernah berubah, malah kasih sayang dan komitmen yang diberikan membuatkan saya lebih bahagia bersamanya,” jelas Azura.

Soal anak

Setiap pasangan suami isteri pasti menginginkan rumah tangga mereka dilengkapi dengan anak-anak.

Bercerita mengenai perkara itu, Azura berkata, buat masa sekarang, dia tidak bercadang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat memandangkan dia dan suami kini sibuk dengan karier masing-masing.

“Dia kini sibuk dengan kelas latihan pertahankan dirinya dan pada masa yang sama, saya juga sibuk dengan karier saya sebagai pengacara.

“Kami bercadang untuk memperoleh cahaya mata dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujar pengacara program Xplorasi itu.

Tambahnya, dalam jangka masa dua tahun tersebut, di samping memberi sepenuh komitmen kepada kerjaya masing-masing, Azura berkata, dia dan Ibrahim masih lagi dalam proses mengenal budaya masing-masing.

“Tidak adil jika saya meminta dia sahaja memahami budaya saya. Saya juga perlu belajar cara hidup dan budayanya supaya ia seimbang,” ujarnya yang kini sedang mempelajari bahasa ibunda suaminya iaitu, Brazillian-Portugese.

Buku

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Azura kini memasuki dimensi baharu dalam kehidupannya apabila mula menceburkan diri dalam bidang penulisan.

Pengalaman lebih sedekad dalam bidang pengacaraan telah diterjemahkan dalam sebuah buku yang berjudul The Guide Book To Radio Host terbitan MPH Bookstores.

Menurut Azura, dia tergerak hati untuk menulis buku tersebut memandangkan buku panduan seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan kebanyakan buku panduan adalah dari luar negara.

“Jika dilihat buku seperti ini masih kurang berada di pasaran Malaysia dan jika seseorang itu ingin mempelajari bidang pengacaraan melalui buku, mereka terpaksa merujuk karya luar negara.

“Buku karya luar negara tidak sesuai untuk dijadikan rujukan di Malaysia memandangkan persekitaran dan cabarannya tidak sama seperti di Malaysia,” ujar Azura.

Tambahnya, perasaan tanggungjawabnya untuk berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaannya merupakan faktor lain yang mendorongnya menulis buku tersebut.

“Saya telah berkongsi segalanya termasuk pengalaman saya sehingga kepada aspek etika dan personaliti yang diperlukan untuk menjadi seorang pengacara yang berkaliber dan disegani.

“Melalui penulisan ini saya rasa ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan muda ataupun orang ramai yang berminat atau mahu berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan,” ujar Azura yang menjadikan Oprah Winfrey dan Paula Malai Ali sebagai idolanya.

Tambah Azura, kandungan buku tersebut turut menekankan tentang aspek dalaman jiwa seseorang untuk bergelar pengacara dan ia bukan semata-mata berdasarkan teori.

Dalam perkembangan yang sama, Azura menambah, pada masa akan datang dia juga teringin untuk menerbitkan sebuah buku travelog bergambar mengenai pengalamannya sepanjang bergelar pengacara Xplorasi di TV1.

“Sepanjang menjadi pengacara untuk Xplorasi, saya telah berpeluang untuk menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia.

“Pengalaman tersebut digunakan dengan sebaiknya, malah saya sempat merakam detik-detik pengembaraan tersebut dan saya rasakan ia menarik untuk dikongsikan dengan orang ramai,” ujarnya.

Bengkel pengacaraan

Dalam pada itu, penerbitan buku tersebut juga membuka ruang baharu kepada Azura untuk mengadakan bengkel pengacaraan dalam usaha mendidik golongan yang ingin berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan.

“Saya dan kakak saya, Zarina Zainal bercadang untuk mengadakan bengkel pengacaraan pada masa akan datang dan kebetulan buku ini boleh dijadikan sebagai medium pengajaran kepada pelajar.

“Kami juga amat berbesar hati jika mana-mana sekolah, kolej ataupun universiti ingin menjadikan buku ini sebagai salah satu silibus dalam sukatan pelajaran mereka,” ujarnya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");