Membawang Hari Ini

Back At One ‘cairkan’ peminat

back at one

Pada Khamis lalu, penyanyi R&B dari Amerika Syarikat, Brian McKnight berkata dia tiada kejutan bagi peminat pada konsertnya walaupun sudah 14 tahun tidak mengadakan persembahan di negara ini.

Kenyataan pemuzik dan komposer handalan itu mungkin sebagai ‘usikan’ kepada peminat kerana persembahannya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Jumaat lalu berjaya memukau seramai 2,000 penonton yang hadir.

Malah, penyanyi berusia 45 tahun itu turut memberi beberapa kejutan istimewa kepada peminatnya.

Konsert More Than Words, An Intimate Evening With Brian McKnight menyaksikan anak kelahiran New York itu menyampaikan lagu-lagu popular yang dipetik dari 15 albumnya.

Memulakan persembahan sekitar jam 8.45 malam, konsert selama dua jam itu membuka tirai dengan lagu Find Myself seterusnya Don’t Stop.

Persembahan itu bukan sekadar ‘jamming’ biasa, kerana McKnight bersama barisan pemuziknya pandai mencuit hati penonton dengan pelbagai aksi mereka yang melucukan.

Sambil membuat persembahan, gelagat penyanyi itu menghangatkan lagi suasana dalam dewan dengan sorakan penonton.

Penonton mula menyanyi sambil bertepuk tangan sebaik McKnight mendendang­kan lagu Love of My Life dan Only One.

Seterusnya, McKnight membuat satu kejutan dengan mempelawa seorang penonton bertuah naik ke pentas.

Dia kemudian meminta izin peminat itu untuk menjadi teman lelakinya selama beberapa minit sebelum mendendangkan lagu berjudul Another You.
Istimewanya, McKnight turut menghadiahkan sejambak bunga kepada wanita itu yang sudah ‘cair’ dengan aksi romantis penyanyi berkenaan.

Memiliki bakat bermain lapan jenis alat muzik, penyanyi itu menghangatkan suasana dewan dengan menunjukkan kebolehannya bermain gitar dan keyboard.

Dia kemudian mengajak penonton mengimbau kembali memori bersamanya dengan mendendangkan lagu Crazy Love, My Kind Girl dan 6,8,12 sambil memetik gitar.

Selepas itu, McKnight menggantikan alat muzik itu dengan keyboard bagi persembahan lagu berjudul Rest of My Life dan Anytime.

Konsert mencapai kemuncaknya dengan persembahan lagu hit yang dinanti-nantikan penonton iaitu Back at One yang berjaya menjual lebih tiga juta album di seluruh dunia selepas diterbitkan pada 1999.

McKnight mengakhiri persembahannya pada jam 10.30 malam dengan menyampaikan lagu berjudul Made For Love dan Still yang dipetik dari album kedua I Remember You.

Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah barisan artis popular Anuar Zain, Noryn Aziz, Shasha Elite, Lisa Surihani dan Yusry.

Terdahulu, McKnight berkata, dia gembira dapat kembali lagi ke negara ini untuk mengadakan persembahan lebih besar.

“Kali terakhir saya menjejak kaki ke Kuala Lumpur pada 2000. Malam ini saya gembira kerana penonton seronok dan menyanyi bersama saya,” katanya.

Sebelum meneruskan persembahannya, McKnight mendedahkan dia akan menolak permintaan mana-mana wanita yang memintanya menyanyikan lagu untuk mereka.

“Apabila keluar dengan wanita, saya tidak akan menyanyikan lagu untuk mereka. Ini kerana saya tidak mahu menggunakan bakat yang dikurniakan Tuhan untuk hal peribadi,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media Khamis lalu, penyanyi itu menganggap semua lagunya adalah sebahagian daripada jiwanya.

“Secara jujurnya, saya tidak menggemari mana-mana lagu sendiri kerana semua karya yang dihasil­kan adalah sebahagian daripada hidup saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia tidak kisah mengadakan konsert di mana-mana negara selagi ada peminat mahu menonton persembahannya.

“Saya mengakui jalur muzik R&B dan Soul agak perlahan sekarang, namun percaya masih ada peminat yang menghargai genre ini seperti saya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");