Jenayah

Cekup sembilan chef Siam

pati

Shah Alam: Disebabkan mahu mendapatkan khidmat pakar masakan untuk memastikan masakan Thailand seperti tomyam mendapat sentuhan ‘asli’, sesetengah pengusaha kedai makan dikatakan sanggup menggaji pekerja asing dari negara berkenaan bagi memastikan perniagaan mereka terus laris.

Walaupun tidak mempunyai permit kerja sah, tukang masak dari negara gajah putih itu terus mendapat permintaan yang tinggi daripada pengusaha kedai makan sekitar daerah ini.

Tambahan pula, pengusaha menganggap tukang masak ‘Siam’ itu hanya akan menghabiskan masa di dapur masakan, sekali gus mengelakkan mereka daripada diperiksa pihak berkuasa.

Bagaimanapun, operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Selangor awal pagi semalam, menahan sembilan lelaki warga Thailand yang bekerja di sebuah medan selera di Seksyen 7, di sini.

Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, mereka yang ditahan berusia 20-an hingga 30-an dan bekerja di medan selera berkenaan.

Menurutnya, semua yang ditahan didapati melakukan kesalahan tidak memiliki pasport, tidak memiliki permit kerja yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

“Serbuan dijalankan selepas penguat kuasa imigresen melakukan risikan di kawasan medan selera berkenaan yang rata-rata akan menggajikan warga Thailand untuk bekerja sebagai tukang masak.

“Majikan juga diingatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Imigresen jika mahu menggajikan pekerja asing di premis mereka. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka juga boleh didakwa,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, semua warga asing yang ditahan akan dihantar ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, penguat kuasa Imigresen Selangor akan terus menjalankan pemeriksaan di sekitar negeri ini bagi memastikan majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menggaji pekerja asing sesuka hati.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");