Membawang Hari Ini

Fear Factor: Kejutan Erin-Redha

kejutan

SELEPAS bertungkus lumus bergelut dengan kejutan perubahan cuaca, berhadapan dengan pelbagai cabaran lasak fizikal dan mental selama 12 minggu, akhirnya pelakon Erin Malek bersama pasangannya, Redha Rozlan dinobatkan sebagai Juara Fear Factor Selebriti Malaysia musim kedua.

Menerusi episod akhir yang ditayangkan di saluran Astro Ria dan Maya HD, malam kelmarin, pasangan ini berjaya menewaskan pesaing terdekat, Nas-T dan Kairul Nizam Abd Malek dengan perbezaan masa hanya dua minit sahaja pada cabaran akhir, ‘Bumi, Langit, Air dan Api’.

Biarpun Erin pada mulanya gagal menyempurnakan tugasan akhir dan dikenakan penalti, namun ketangkasan Redha di saat menyempurnakan cabaran akhir nyata membuahkan kejayaan besar buat mereka.

Kemenangan itu sekali gus, melayakkan pasangan ini membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM200,000.

Menjalani penggambaran di Capetown, Afrika Afrika, sejak Oktober tahun lalu, Fear Factor Malaysia 2014, dihoskan oleh aktor popular, Aaron Aziz.

Erin hampir putus asa

Di saat-saat akhir sebelum pengumuman, Erin dilihat putus asa apabila terpaksa bersaing dengan pasangan lelaki, Nas-T dan Khairul yang dilihat mempunyai kelebihan berbanding kumpulannya.

Katanya, sebelum memulakan cabaran akhir dia kurang yakin untuk ‘bertempur’, namun pasangannya Redha tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat.

“Bayangkan kami kumpulan wanita-lelaki bersaing dengan dua jejaka aktif, semangat saya agak kendur ketika itu.

“Namun Redha tidak pernah putus asa memujuk saya untuk meneruskan perjuangan kami. Saya bersyukur sangat kerana kata-kata semangat Redha menyebabkan kami berada di minggu akhir sekalipun bergelar juara,” kata pelakon Awak Nak Kahwin Dengan Saya ini.

Katanya, apatah lagi dengan sikapnya yang suka menangis setiap kali berhadapan dengan tugasan yang sukar dan mencabar fizikal yang kecil berbanding peserta lain.
Berkongsi pengalaman sukar dilupakan sepanjang program itu berlangsung, Erin berkata minggu terakhir merupakan cabaran paling sukar baginya.

“Rasa gementar dan takut bercampur baur. Paling sukar adalah cabaran air kerana kaki saya ‘cramp’ dan tidak dapat memanjat jaring.

“Ketika itu saya sudah kehabisan tenaga dan tangan menggigil-gigil menyebabkan kami dikenakan penalti.

“Dalam fikiran saya masa itu, kami sudah gagal namun masa nama kumpulan diumumkan menang, saya sangat terkejut dan sedih,” katanya yang meminati sukan lasak.

Ditanya mengenai wang kemenangan tersebut, Erin berkata dia belum memikirkan apa-apa lagi perancangan kerana masih lagi terkejut dengan keputusan itu.

“Saya anggap wang ini sebagai satu bonus sepanjang bergelar selebriti. InsyaALLAH… saya akan gunakan sebaik mungkin dan prioriti saya adalah keluarga,” ujarnya.

Redha Perbaiki kehidupan

Berpengalaman selama bertahun dalam sukan ‘wall climbing’ menjadi satu kelebihan buat Redha Rozlan ketika berhadapan dengan tugasan akhir, memanjat jaring.

Ketangkasannya itu menjadi penyelamat bagi kumpulannya biarpun berhadapan dengan masalah kesihatan di saat-saat akhir pertandingan.

Katanya, akibat terlalu gementar dia menghadapi masalah apabila sukar bernafas dan semput ketika berada di dalam air.

“Mulanya saya nak ‘give up’ memandangkan pesaing kami punyai kelebihan kerana keduanya lelaki.

“Namun saya positifkan diri dan motivasi supaya Erin juga tidak terkesan dengan situasi saya,” katanya yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta.

Berkongsi pengalamannya, Redha berkata persiapan dari segi mental lebih penting berbanding fizikal.

“Sebagai contoh, ketika cabaran memakan daging kambing separa masak, saya hampir gagal kerana tidak tahan dengan bau hanyir.

“Tapi saya kuatkan semangat demi rakan pasukan yang banyak membantu saya sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Sambung Redha, perkara paling penting dalam pertandingan itu adalah komunikasi dua hala dengan pasangan kerana ia beri kekuatan untuk mereka meneruskan perjuangan.

Ditanya perancangannya mengenai wang kemenangan, Redha berkata dia ingin memperbaiki kehidupannya terlebih dahulu dan kegunaan keluarganya.

Namun, dia belum memutuskan bagaimana cara menggunakan wang tersebut kerana masih terlalu awal baginya.

Fear Factor musim ketiga?

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata program ini mendapat peningkatan dari segi rating berbanding musim pertama.

Katanya, tidak mustahil musim ketiga akan diteruskan setelah melihat perkembangan positif tersebut.

“Lagipun kami berhadapan dengan cabaran memilih selebriti yang berani dan tahan lasak.

“Namun keputusan untuk menyambung program ini akan diketahui selepas perbincangan dengan pihak yang terlibat,” kata Raqim.

Sambungnya, ciri-ciri selebriti yang dipilih berdasarkan populariti di laman sosial, bilangan peminat dan variasi yang ditonjolkan artis tersebut.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");