Membawang Hari Ini

Geran untuk bakat muda

filem pendek

FINAS sedia bantuan penerbitan, pasarkan produk kandungan kreatif sempena FARB 2014

Hadiah berupa geran penerbitan filem dokumentari oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menanti pemenang pertandingan Dokumentari Filem Pendek Royal Belum sempena Festival Antarabangsa Royal Belum 2014 (FARB 2014).

Selain kewangan, FINAS akan menyediakan infrastruktur bagi proses pasca-produksi karya yang dihasilkan pemenang. Pembabitan FINAS dalam menyokong penganjuran FARB 2014 yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada generasi baru menceburi industri kandungan kreatif.

“Ketika ini, kita belum dapat menentukan jumlah geran yang akan diberi kepada pemenang pertama bagi pertandingan penerbitan dokumentari pendek pada festival itu” Subaidah Md Top, Pengarah Produksi FINAS

Pengarah Produksi FINAS, Subaidah Md Top berkata, penganjuran pertandingan itu menjadi landasan kepada generasi muda untuk mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam industri kandungan kreatif secara realiti.

“Ketika ini, kita belum dapat menentukan jumlah geran yang akan diberi kepada pemenang tempat pertama bagi pertandingan penerbitan dokumentari pendek pada festival itu.

“Bagi pemenang, mereka harus mengemukakan kertas kerja kepada FINAS untuk dinilai serta menentukan berapa geran yang layak diterima untuk penerbitan dokumentari yang dicadangkan.

“Selain itu, FINAS sebagai badan yang menguruskan pembangunan industri perfileman menyediakan khidmat nasihat termasuk membantu memasarkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya ditemui pada majlis pengumuman tiga kumpulan peserta yang layak mengikuti pertandingan Dokumentari Filem Pendek Royal Belum di Hutan Royal Belum, Perak, yang berakhir, lusa.
Pertandingan itu juga adalah program sempena FARB2014 yang dianjurkan kali pertama oleh Pelancongan Perak dan Pulau Banding Foundation serta kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak; FINAS; Yayasan Emkay; Kementerian Negeri Perak dan Belum Rainforest Resort.

Pertandingan dibuka khusus kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam bidang multimedia dengan 25 penyertaan diterima. Hanya tiga IPT iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM); Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) dan Kolej Poly-Tech Mara Ipoh layak menyertai pertandingan itu.

Masuk hutan tujuh hari

Wakil Penganjur, Fazreen Wahab berkata, pertandingan itu diadakan bagi mencungkil bakat pengarahan dan perfileman berbentuk majalah yang bertemakan alam. Ia bertujuan memupuk minat dan kreativiti dalam kalangan remaja negara tempatan.

“Sebagai pengenalan, pertandingan ini hanya dibuka kepada peserta dari IPT bagi memberi peluang kepada generasi muda untuk mencetus keterujaan mereka terhadap potensi dan peluang di dalam industri kandungan kreatif.

“Semua peserta akan dibawa masuk ke Hutan Royal Belum untuk membuat penggambaran selama tujuh hari mulai Khamis lalu. Mereka diberi masa dua minggu selepas penggambaran untuk menyiapkan proses pasca-produksi sehingga siap menjadi produk dokumentari yang bertemakan Hutan Simpan Royal Belum, Kekal Indah dan Berpotensi.

“Secara tidak langsung, hasilnya bakal menjadi bahan promosi dan juga disimpan di arkib sebagai bahan rujukan pada masa akan datang,” katanya kepada HIP.

Tambahnya, pertandingan itu juga bertujuan mendapatkan filem menarik dan bernilai komersial untuk mempromosikan Hutan Royal Belum sebagai destinasi eko pelancongan. Ia juga bakal disiarkan di stesen televisyen dan juga menjadi landasan bagi mempromosikan negeri Perak khususnya Hutan Belum di peringkat antarabangsa.

Selain pertandingan dokumentari, FARB 2014 berlangsung selama lima bulan dengan pelbagai aktiviti bermula Mac lalu. Antara program itu termasuk Pertandingan Jurugambar Antarabangsa Royal Belum; Jelajah Aspirasi Seni Royal Belum; Pertandingan Fotografer Amatur Royal Belum serta Selebriti dan Duta Tour Royal Belum.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");