Isu Panas

Kemelut Politik Terengganu: Ahmad, Ghazali Kembali

ghazahmad

PUTRAJAYA: Selepas dua hari Terengganu berdepan kemelut politik akibat tindakan tiga wakil rakyatnya keluar Umno, jalan penyelesaian dicapai apabila Datuk Seri Ahmad Said dan Ghazali Taib kembali bersama parti itu.

Menteri Besar Terengganu yang baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata walaupun kedua-duanya tidak hadir pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada tengah hari Selasa, mereka akan menarik balik surat keluar parti itu.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal dan Ajil itu akan mengadakan sidang media khas berhubung perkara itu di Kuala Terengganu, petang Rabu.

“Ahmad Said menghubungi Perdana Menteri dan memaklumkan keputusan beliau dan Ghazali untuk menyertai Umno semula dan akan mengadakan sidang media pada bila-bila masa hari ini (Rabu).

“Beliau juga memaklumkan kesal atas apa yang berlaku,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bersama wakil rakyat negeri berkenaan di Perdana Putra di sini.

Sebelum init, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Ghazali makin hampir mencapai kata putus untuk melakukan pusingan ‘u’ dengan menarik balik keputusan keluar Umno.

Ghazali mengemukakan surat keluar Umno pada hari sama Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berbuat demikian, iaitu malam Isnin.

Seterusnya, Adun Bukit Besi, Roslee Daud mengikut jejak mereka pada pagi Selasa. Bagaimanapun beberapa jam kemudian, Roslee menarik balik keputusannya untuk keluar Umno.

Jika Ahmad dan Ghazali membuat keputusannya dalam tempoh terdekat, bermakna kedudukan Barisan Nasional (BN) kembali seperti asal iaitu 18 kerusi, termasuk Speaker berbanding Pakatan Rakyat 15, termasuk 14 kerusi PAS dan satu Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");