Perak Hari Ini

Kampus Cawangan UPSI Dibina Di Teluk Intan: PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan membuka kampus cawangannya di Parlimen Teluk Intan dengan tumpuan melatih guru dalam bidang vokasional dan teknikal.

Ia merupakan sebahagian manifesto yang diumumkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, hujung bulan lalu.

“Meskipun Mah tidak beritahu saya mengenai pembinaan sebuah universiti di Teluk Intan ini dalam manifestonya, kita tetap akan merealisasikan janji tersebut.

“Jadi, sebuah universiti perguruan, iaitu cawangan UPSI akan dibina Teluk Intan,” katanya berucap sempena majlis pelancaran projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Dataran Menara Condong Teluk Intan, hari ini.

Beliau berkata lagi, keputusan untuk membina universiti tersebut telah dibuat hasil perbincangan daripada beberapa pihak.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pihak lain mengenai hal tersebut.

“Hasil daripada perbincangan itu, maka kerajaan telah mengambil keputusan untuk membina sebuah cawangan UPSI yang akan ditempatkan di Teluk Intan,” tambahnya lagi.

Pembinaan kampus cawangan tersebut katanya, akan memberi manfaat dan latihan kepada kira-kira 1,000 guru.

“Kira-kira 1,000 bakal guru ini akan dilatih dalam bidang teknik dan vokasional,” katanya.

Katanya lagi, projek berkenaan dijangka akan siap dalam tempoh empat tahun lagi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mengalu-alukan kehadiran Najib ke Perak.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sanggup datang ke Perak dan menunaikan janji dengan melancarkan projek PR1MA di Teluk Intan.

“Ini secara tidak langsung dapat menjamin masa depan yang cerah kepada penduduk Teluk Intan khususnya anak-anak muda di sini untuk memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");